PETALING JAYA : Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai ditetak di hadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada semalam.
Dalam kejadian pukul 5.56 pagi itu, mangsa ditemukan oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 tahun dan beralamat di Taman Bukit Serdang.
“Siasatan mendapati mangsa telah dibunuh dipercayai menggunakan senjata tajam seperti parang.
“Pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa mengalami kesan tetakan pada bahagian muka,leher dan tangan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mengulas lanjut, kata Anbalagan, mayat mangsa dihantar ke Hopsital Serdang untuk dibedah siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.
“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan dan menangkap kesemua suspek yang terlibat serta dipercayai masih bebas.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” jelasnya.-UTUSAN










