RANTAU PANJANG: Cubaan sekumpulan lelaki menyeludup masuk 12 ekor lembu dari Thailand dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan semak berhampiran Sungai Tok Rusa, Meranti di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 11 malam itu, kumpulan terbabit dikatakan lari lintang-pukang masuk semula ke Thailand dengan meninggalkan kesemua lembu seludup yang dianggarkan bernilai RM67,200.
Pegawai Pemerintah Medan, Superintenden Azhari Nusi berkata, serbuan dilakukan oleh Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang mengambil alih penugasan di sempadan Kelantan-Thailand melalui Op Wawasan.
Menurutnya, semasa intipan, anggota bertugas melihat lembu-lembu itu diseludup masuk ke negeri ini menggunakan perahu melalui bawah jambatan di Jalan Kasban Sungai Tok Rusa yang bersambung dengan Sungai Golok.
“Setelah perahu itu berhenti, beberapa lelaki dilihat menarik lembu dari dalam perahu ke atas darat namun sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota PGA, mereka bertindak melarikan diri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azhari dalam pada itu memberitahu, siasatan awal mendapati kesemua 12 ekor lembu seludup itu dipercayai untuk dijual di sekitar Kelantan sebagai bekalan daging lembu segar sepanjang Ramadan ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011. – UTUSAN










