Laporan MySejahtera perlu dibahas di Parlimen - PAC

Laporan MySejahtera perlu dibahas di Parlimen – PAC

WONG KAH WOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh meminta Speaker Dewan Rakyat supaya membenarkan laporan MySejahtera dibahaskan di Parlimen.

Ini setelah PAC mengesahkan bahawa laporan berhubung aplikasi MySejahtera akan dibentangkan pada minggu pertama persidangan Dewan Rakyat, Julai ini.

Katanya, laporan itu perlu dibahaskan sekurang-kurangnya sehari memandangkan ia adalah isu berkepentingan awam.

“PAC mencadangkan kerajaan mengambil kira pandangan laporan yang bakal dibentangkan dan perbahasan Ahli Parlimen sebelum mengambil keputusan membabitkan implikasi kewangan dalam isu pembangunan aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, PAC meneruskan prosiding Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera dengan mendengar penjelasan dan keterangan daripada tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), iaitu Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Katanya, prosiding itu berlangsung selama tiga jam bermula pukul 10 pagi yang mana fokusnya berhubung siapa yang terlibat dalam pelantikan syarikat KPI Soft Sdn. Bhd. untuk membangunkan aplikasi MySejahtera pada April 2020.

“Prosiding turut memberi fokus mengenai kelangsungan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dicadangkan dan ketidakwujudan kontrak rasmi antara kerajaan dengan syarikat pembangun.

“Tumpuan juga diberikan mengenai pemilikan aplikasi MySejahtera khasnya pegangan harta intelek dan pendirian KPI Soft Sdn. Bhd. atau MySj Sdn. Bhd. terhadap tuntutan pemilikan harta intelek seperti yang termaktub dalam dokumen mahkamah serta dokumen berkaitan,” katanya.

Ia merupakan prosiding kedua mengenai MySejahtera selepas kali pertama dihadiri oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 14 April lalu.

Bagi prosiding kedua ini, JPM diwakili Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Datuk Mohamad Ismail.

MAMPU diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Yusoff Ismail; MKN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Rodzi Md Saad dan NACSA diwakili Ketua Eksekutifnya, Rahamzan Hashim.

Tambah Kah Woh, PAC akan meneliti segala keterangan, dokumen dan minit mesyuarat yang diperoleh sebelum membuat keputusan sama ada akan memanggil saksi lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya