Kumpulan Syarikat Ehsan tumpu pelancongan hospitaliti

Kumpulan Syarikat Ehsan tumpu pelancongan hospitaliti

ABDUL Hamid P. V Abdu (tiga dari kanan) dan Shahul Hameed (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim sempena majlis Jelajah Ihya Ramadan Ehsan anjuran Kumpulan Syarikat Ehsan di Port Dickson malam semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Kumpulan Syarikat Ehsan akan terus menumpukan sektor pelancongan hospitaliti dalam cabang perniagaannya mengambil kira fasa peralihan endemik yang semakin memulihkan sektor ekonomi ketika ini.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Ehsan, Datuk Abdul Hamid P. V Abdu berkata, selain hotel-hotel sedia ada di daerah ini serta di Pulau Pinang dan Langkawi, pihaknya bercadang untuk membuka dua buah hotel lagi selain melihat potensi pelancongan di Terengganu.

“Dalam fasa peralihan ke endemik ini, sudha tentu kami mula memberikan lebih fokus kepada pelancongan hospitaliti seperti taman tema kami iaitu Ehsan Water Park di Pasir Panjang, Port Dickson dan Hotel Ehsan Seaview, Port Dickson selain sebuah hotel kami masing-masing di Pulau Pinang dan Langkawi. 

“Kami masih dalam perbincangan bagi membina dua buah hotel lagi dan juga sedang melihat potensi pelancongan di Terengganu serta beberapa lokasi lain mengambil kira sempadan negara yang telah dibuka sejak 1 April lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah Ihya Ramadan Ehsan anjuran Kumpulan Syarikat Ehsan di sini semalam.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor dan Ketua Pegawai Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRDCorp), Datuk Shahul Hameed Dawood.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya ketika ini telah mengambil seramai lebih 100 orang pekerja untuk bertugas di Ehsan Water Park dan Hotel Ehsan Seaview.

“Alhamdulillah, pembukaan kedua-duanya telah merancakkan ekonomi sekitar dan sehingga kini seramai lebih 100 orang telah diambil bekerja dengan 75 peratus merupakan pekerja tempatan iaitu dari sekitar daerah Port Dickson,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, seramai 3,500 orang anak yatim, asnaf dan golongan memerlukan di seluruh negara menerima sumbangan menerusi Program Jelajah Ihya Ramadan Ehsan.

“Menerusinya, kami memberikan sumbangan sebanyak RM100 hingga RM150 setiap seorang termasuk bakul makanan selain kupon berbuka puasa. Ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kami bagi membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara,” katanya lagi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN