Kumpulan Industri Nanoteknologi himpunkan pemain industri nano

Kumpulan Industri Nanoteknologi himpunkan pemain industri nano

ADHAM Baba mempengerusikan Sesi Libat Urus Industri Nano Tempatan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan penubuhan Kumpulan Industri Nanoteknologi Malaysia (MNIG) secara rasmi dalam suku ketiga tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, MNIG itu menghimpunkan pemain industri nano di Malaysia, sekali gus mengurangkan jurang penglibatan dalam ekosistem nanoteknologi negara. 

“Diharap ia menjadi platform terbaik ke arah penglibatan lebih banyak industri dalam bidang nanoteknologi seterusnya mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“MNIG adalah salah satu inisiatif Dasar dan Strategi Nanoteknologi Kebangsaan (DSNN) dan ia disasarkan untuk ditubuhkan secara rasmi dalam suku ketiga tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi pertemuan bersama pemain-pemain industri nano teknologi, di sini hari ini. 

Menurut Adham, proses penubuhan kumpulan tersebut mengambil kira cadangan dan keperluan industri, termasuk mendapatkan pandangan-pandangan daripada persatuan. 

“Nama rasmi bagi MNIG akan diputuskan oleh Jawatankuasa Penaja yang diadakan dalam Jun ini,” katanya. 

Beliau menjelaskan, penubuhan MNIG adalah disebabkan ketiadaan persatuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) nanoteknologi yang dipandu oleh industri pada masa ini. 

Tambahnya, MNIG akan berperanan sebagai pelantar untuk kerjasama yang lebih erat di antara syarikat-syarikat nanoteknologi, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan juga membantu penyelarasan di antara syarikat dalam rantaian bekalan produk nanoteknologi.

Selepas MNIG ditubuhkan, kata beliau, ia juga akan menjadi ahli di Jawatankuasa Penyelarasan Nanoteknologi Negara sebagai wakil suara industri nano tempatan. 

Sementara itu, menurut beliau, ekosistem inovasi nanoteknologi tidak akan maju tanpa penglibatan sektor swasta dan industri terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang mempelopori industri nanoteknologi di Malaysia. 

Beliau berkata, sumbangan PKS dalam industri nanoteknologi berpotensi tinggi kepada ekonomi negara serta memberikan banyak faedah sosioekonomi kepada rakyat Malaysia. 

Katany, ia menawarkan sebanyak 33,391 peluang pekerjaan selain menyumbang RM151.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kini, produk nano di pasaran Malaysia merekodkan melebihi 900 produk yang bernilai RM381.8 juta sehingga tahun 2020,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN