Kualiti perkhidmatan PBT diperbaiki - Utusan Malaysia

Kualiti perkhidmatan PBT diperbaiki

ISMAIL Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3 Tahun 2022 di Putrajaya. - PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan komited memperbaiki kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melonjakkan potensi pelaburan langsung domestik (DDI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk itu pelaksanaan pusat sehenti (OSC) 3.0 diperkasakan kepada OSC 3.0 Plus yang merupakan prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawal selia dan memudah cara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki.

Kata beliau, ia menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung agar perkhidmatan sentiasa efisien, cepat dan telus.

“Penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bil. 3 Tahun 2022 yang dipengerusikan Perdana Menteri berhubung DDI dan pemerkasaan OSC PBT memandangkan ia adalah elemen terpenting peralihan negara ke fasa endemik dalam pemulihan ekonomi.

Sehubungan itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan DDI.

Ismail Sabri berkata, antara cadangan tersebut termasuk melaksanakan kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50 peratus kekangan birokrasi; melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan.

Katanya, ini termasuk merekayasa proses pengurusan buruh asing serta menyediakan pelan tindakan untuk mengembang rangkaian ‘perusahaan kecil dan sederhana dengan pelaburan langsung asing’ (PKS-FDI).

“Proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik. Kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan pemain industri.

“Kerajaan sentiasa mendengar cadangan daripada semua pihak untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya