LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedia mengkaji semula kos membina rumah baharu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan mencadangkan ia dinaikkan kepada RM67,000 termasuk nilai baik pulih untuk manfaat golongan B40 di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menjelaskan, sehingga kini, peruntukan bagi sebuah rumah baharu PPRT dianggarkan bernilai RM56,000 di Semenanjung manakala baik pulih sebanyak RM13,000.
“Kajian tentang perkara ini masih dalam perbincangan pada peringkat kementerian kerana kita dapati belanja sesebuah rumah sama ada baharu atau baik pulih semakin meningkat.
“Hal ini didorong oleh pelbagai faktor seperti peningkatan kos pengeluaran bahan oleh pengilang termasuk mengimport bahan binaan daripada negara luar serta kadar upah buruh juga tinggi dan perlu diambil kira,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT di Kampung Ulu Teris di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.
Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan replika kunci rumah PPRT kepada Mazlan Hassan di Kampung Perang, Benta dan Rogayah Mat Zin di Kampung Ulu Teris, Padang Tengku.
Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis menambah, peningkatan kos itu memberikan impak ramai kontraktor kecil di luar bandar yang terbabit dengan pembinaan rumah PPRT tidak mampu melaksanakannya ekoran perolehan keuntungan yang rendah.
“Ketika ini kementerian ini sedang melakukan libat urus dengan pelbagai agensi untuk mendapatkan cadangan sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri.
“Apabila dipersetujui, kita akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan menerusi pembentangan Bajet 2023,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Abdul Rahman menambah pada tahun ini, KPLB memperuntukkan sejumlah RM 361 juta untuk PPRT di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, RM178 juta untuk membina 2,503 buah rumah baharu, manakala sejumlah RM182 juta untuk tujuan membaikpulih 11,453 buah rumah.
“Di Pahang, selain rumah PPRT, KPLB turut membina serta membaik pulih Rumah Kasih Keluarga Malaysia (RKKM) khas untuk mangsa banjir dan juga yang terkesan dengan banjir pada tahun lalu dan awal tahun ini menerusi peruntukan RM43 juta termasuk peruntukan bagi rumah PPRT,” ujarnya.- UTUSAN










