KUALA LUMPUR: Kos bagi menunaikan ibadah haji meningkat hingga 12 peratus menjadikan kosnya sebanyak RM25,540 bagi tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, kos itu menjadikan peningkatan sebanyak RM2,640 berbanding tahun 2019.
Menurut beliau, bantuan kewangan haji akan kekal diberikan sebanyak 57 peratus bagi jemaah Muassasah kategori B40 dan 49 peratus bagi kategori lain.
“Untuk tahun 2022, TH telah menganggarkan kos menunaikan haji bagi jemaah Muassasah sebanyak RM25,540 seorang.
“Oleh itu, bantuan kewangan akan turut diberikan kepada jemaah Muassasah kategori B40 sebanyak RM14,560 dan bagi kategori lain pula RM12,560,” katanya semasa sidang media.
Terdahulu, akhbar melaporkan, Terdahulu, akhbar melaporkan, TH menjangkakan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan rukun Islam kelima pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 untuk seorang susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.
Amrin berkata, jemaah perlu menghadapi peningkatan sebanyak RM1,000, menjadikan mereka perlu membayar sebanyak RM10,980 bagi kategori jemaah Muassasah B40.
Tambahnya, bagi golongan jemaah Muassasah kategori lain perlu membayar sebanyak RM12,980 seorang iaitu peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun.
“TH dijangka akan membelanjakan anggaran RM150 juta bagi menampung sebahagian daripada kos menunaikan ibadat haji tahun ini melalui bantuan kewangan.
“Bayaran jemaah haji muassasah telah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lepas, walaupun kos menunaikannya meningkat setiap tahun sehingga 103 peratus,” jelasnya. – UTUSAN










