Khemah besar, tiada parti harus dominasi-Mukhriz - Utusan Malaysia

Khemah besar, tiada parti harus dominasi-Mukhriz

MUKHRIZ MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil pendekatan untuk melihat terlebih dahulu tawaran dalam ‘khemah besar’ Pakatan Harapan (PH) sebelum memutuskan untuk menyertai gabungan tersebut.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan wakil-wakil PH namun, belum ada sebarang keputusan, perbincangan yang dilakukan belum sampai kepada tahap rundingan.

“Kita nak dengar apa sebenarnya maksud mereka (PH) bila bercakap mengenai khemah besar ini, apa peranan setiap part termasuk kami yang dianggap sebagai parti kecil yang hanya mempunyai empat ahli Parlimen ini.

“Kita mahu beri ruang kepada mereka untuk terangkan apa sebenarnya dimaksudkan dengan khemah besar.

“Semasa zaman PH, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), khemah besar yang diwujudkan ketika itu memberi ruang kepada semua parti tidak kira berapa jumlah kerusi dimenangi sekali pun tapi, penyertaan dalam Jemaah Menteri seimbang.

“Jadi, kita mahu tahu adakah pendekatan seperti itu hendak diamalkan atau ada pihak tertentu akan mendominasi khemah besar ini,” katanya semasa sidang akhbar, di sini hari ini.

Mukhriz, yang juga Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, Pejuang kini kekal dengan pendirian untuk bersikap terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja, bukan hanya di peringkat negeri Sabah tetapi juga di Semenanjung Malaysia.

Walaupun ada perbincangan yang telah dilakukan namun, ia belum berhasil namun, beliau optimis bahawa biarpun berbeza pandangan antara satu sama lain namun, persamaan tetap ada iaitu ingin mengubah corak politik negara supaya tidak kembali kepada zaman pra PRU14.

Mengulas lanjut katanya, menjelang PRU15, Pejuang akan turut bertanding di Sabah namun, jumlah kerusi yang ditandingi belum diputuskan.

Ditanya adakah Pejuang akan bekerjasama dengan Warisan di peringkat negeri Sabah, Mukhriz berkata, Pejuang mempunyai hubungan yang akrab dengan Warisan tapi, seperti dinyatakan sebelum ini, Warisan terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN