khemah besar

Khemah besar: Sanggupkah pembangkang buang ego?

Persoalan utama dalam ‘khemah besar’ ialah kesanggupan semua pemimpin parti politik berhadapan mengetepikan ego demi mencapai kesepakatan berhadapan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gabungan parti-­parti pembangkang sebagai satu ‘khemah besar’ termasuk Perikatan Nasional (PN) bagi menumpaskan Barisan Nasional (BN) menimbulkan persoalan sama ada kesemua pemimpin parti sanggup mengetepikan ego demi mencapai persefahaman dan kesepakatan menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hal itu menyorot situasi semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor menyaksikan, pembangkang malah PN sendiri tidak bersatu sehingga mengakibatkan kemenangan memihak kepada BN.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, kesemua parti pembangkang mesti mempertimbangkan pelbagai aspek, baharulah hasrat membentuk ‘khemah besar’ menjadi realiti.

“Siapa yang sanggup mengorbankan ego? Pembangkang sendiri tiada persefahaman dan kesatuan pada pilihan raya negeri lalu seperti Anwar mahu memimpin, Parti Warisan (Warisan) pula bertanding sendiri dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mahukan PN.

“Kalau pun pembangkang tidak mampu membuat khemah besar ini, bolehkah mereka perjanjian budiman (gentlemen agreement), iaitu bertanding di tempat masing-masing tapi pastikan tiada persaingan sesama sendiri, contohnya kawasan Melayu untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sahaja.

“Jika hal ini tidak diambil kira, saya tidak nampak ia akan terlaksana dan masa semakin suntuk. Saya jangka, kalau pilihan raya sekitar Julai atau September ini, mungkin sukar membentuk kerjasama berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Khamis lalu, Timbalan Pre­siden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan menggesa kepimpinan PH supaya tidak terus menutup ruang perbincangan dengan parti pembangkang, termasuk Pas dan Bersatu di blok kerajaan.

Sehari selepas itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menggesa PH membincangkan isu kerjasama dalam mesyuarat Majlis Presiden, dan bukan melalui kenyataan terbuka bagi mengelakkan kekeliruan.

Kelmarin, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula berkata, partinya belum membuat keputusan berhubung idea itu dan perlu dibincangkan dalam MPT Bersatu.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil menjangkakan penyertaan PN-Bersatu sebagai salah satu parti menganggotai khemas besar itu tidak semudah yang dijangka susulan tindakan khianat parti itu semasa Langkah Sheraton pada 2020.

Jelasnya, sekalipun wujud kerjasama tersebut sehingga kerajaan Persekutuan baharu terbentuk, beliau tidak menafikan yang Langkah Sheraton menyaksikan Bersatu keluar daripada gabungan PH akan berulang dan negara akan terus berdepan krisis politik tidak berkesudahan.

“PH sudah mempunyai sejarah hitam dan saya berpendapat, pengundi sudah berwaspada sebelum ia berlaku lagi. Jadi, sekarang, pengundi sebenarnya nak beri undi semula pada BN, kalau ada khemah besar pun, fokus pengundi akan kembali pada BN.

“Bagi saya, khemah besar ini adalah parti-parti politik selain Bersatu, seperti Pejuang, Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia), ini yang mereka alu-alukan, dan jangan terkejut jika Pas turut serta kerana ada hubungan dengan Amanah (Parti Amanah Negara) di dalam PH,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN