kekurangan pemandu

Ketiadaan pemandu bas kritikal

ketiadaan pemandu bas bagi menampung permintaan bas tambahan menjelang Aidilfitri agak kritikal kerana sebahagian besar mereka sudah menjadi pemandu lori. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat-syarikat bas mungkin tidak dapat menawarkan khidmat bas tambahan menjelang sambutan Aidilfitri ini berikutan masalah kekurangan pemandu yang gagal diatasi sehingga ke hari ini.

Ini selepas 50 peratus daripada pemandu mereka terpaksa diberhentikan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri pada 2020 dan tahun lalu.

Pengerusi Sekretariat Gabu­ngan Bas Malaysia, Thiagarajan Renganathan berkata, lebih daripada separuh pemandu bas yang diberhentikan kerja itu memilih untuk bekerja sebagai pemandu lori.

Katanya, penambahan jumlah bas untuk perjalanan Aidilfitri sudah disediakan bagi menampung permintaan masyarakat untuk pulang ke kampung tetapi masalah jumlah pemandu masih meresahkan.

“Masalah ketiadaan pemandu yang merisaukan sekarang, syarikat-syarikat pun sedang berusaha untuk mendapatkan pemandu baharu dan memujuk pekerja lama mereka untuk kembali.

“Disebabkan kebanyakan mereka sudah bekerja sebagai pemandu lori, mungkin kita akan ambil mereka sebagai pemandu sementara untuk mengisi kekosongan. Walau bagaimanapun kita tidak boleh memaksa juga sebab mereka pun mahu beraya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Perkara itu turut diakui oleh Yang Dipertua Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail yang mendedahkan sebanyak 22 buah bas tidak boleh beroperasi kerana ketiadaan pemandu.

“Kita baru sahaja buka dalam 55 buah bas untuk beroperasi tetapi masih ada lagi 22 buah tidak boleh melakukan perjalanan kerana ketiadaan pemandu,” jelasnya yang juga Pe­ngarah Urusan Ekspres Perdana.

Terdahulu, akhbar me­la­porkan, pengguna terpaksa berdepan kenaikan harga tiket bas ekspres menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri antara 10 hingga 20 peratus.

Kenaikan tersebut berkuat kuasa sepanjang tempoh sah laku Lesen Perubahan Sementara (LPS) yang bermula 29 April hingga 8 Mei ini.

Walau bagaimanapun, bagi pengguna perkhidmatan pe­nerbangan awam harga tambang kapal terbang terutama ke Sabah yang melonjak 20 kali ganda atau 2000 peratus dari harga asal, menyaksikan harganya kini antara RM1,800 hingga hampir RM4,000 untuk penerbangan sehala.

Mengulas perkara itu, Laili berpendapat, harga tambang bagi semua jenis pe­ngangkutan termasuk kapal terbang perlu dikawal selia dan seharusnya diletakkan harga si­ling. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN