PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan penurunan semula kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 9,673 kes berbanding kelmarin, 10,413 kes bagaimanapun diatasi 14,267 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan penurunan kepada 152 kes berbanding 154 kes kelmarin.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 87 kes berbanding kelmarin, 89 kes.
“Bagi kluster Covid-19, lapan kluster baharu direkodkan bersamaan kelmarin sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 6,974 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 mencatatkan 116 kluster berbanding kelmarin, 112 manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,858 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 48 kes daripada 9,673 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, baki kes harian, 9,625 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 48 kes kategori tiga, empat dan lima, 17 kes (35.42 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 17 kes (35.42 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 14 kes (29.17%) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 27 kes (56.25 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 26 kes (54.17 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan menurun dengan jumlah sebanyak 16 kes berbanding semalam, 18 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 11 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,397 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), lima kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,478 kes. – UTUSAN










