Kes dera Bella: Hakim lawat lokasi kejadian - Utusan Malaysia

Kes dera Bella: Hakim lawat lokasi kejadian

Lokasi kejadian sebuah unit kondominium di Wangsa Maju yang dilawati hakim dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda yang didakwa mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella di sini, hari ini. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hakim bersama semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda hari ini melawat lokasi kejadian di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju.

Rumah tersebut adalah tempat tinggal mangsa seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.yang didakwa diabai dan dianiaya.

Sejak  pukul 10 pagi, kawasan kondominium itu dikawal rapi oleh polis serta pengawal keselamatan kondominium itu.

Peguam Siti Bainun Ahd Razali, Asiah Jalil paling awal tiba di lokasi kejadian iaitu kira-kira 10 pagi.

Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi tiba di lokasi kejadian pukul 10.51 pagi diiringi beberapa kenderaan polis dan sebuah kereta peronda polis (MPV).

Turut serta ialah Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria, Zilfinaz Abbas, Fazeedah Faik dan Nur Aliana Shakira.

Tertuduh, Siti Bainun dilihat menaiki kenderaan dipandu peguamnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor. 

Lawatan itu berakhir pada pukul 11.50 pagi dan semua pihak meninggalkan kondominium itu sebelum menuju ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta bagi meneruskan prosiding perbicaraan hari ini.

Lawatan itu bertujuan untuk pihak mahkamah melihat dengan lebih jelas gambaran atau pandangan bilik dobi supaya dapat memahami insiden yang diceritakan dalam keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 18, yang juga penghuni Rumah Bonda.

Ini selepas permohonan pihak pembelaan untuk melawat tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar rumah selain saiz bilik dobi di kondominium berkenaan kerana menurut Yasmin, banyak kejadian dilakukan oleh tertuduh di bilik itu.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja  berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya