'Kerjasama dengan PH? pekuatkan parti kita dulu'-Warisan

‘Kerjasama dengan PH? perkuatkan parti kita dulu’-Warisan

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMPORNA: Parti Warisan (Warisan) mahu memberi fokus memperkukuhkan parti terlebih dahulu sebelum mengambil langkah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau tidak mahu memikirkan tentang parti lain kerana keutamaan mereka pada masa ini adalah memperkuatkan kedudukan Warisan.

“Macam mana mahu katakan ini pilihan yang ada sekiranya keadaan kita tidak begitu stabil dan kuat.

“Jadi, kita perkuatkan dahulu parti kita, selepas itu baharu kita lihat keadaannya (kerjasama),” katanya semasa Majlis Iftar bersama golongan asnaf miskin di pekarangan Masjid Inabah Kamal, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya Warisan masih membuka pintu rundingan untuk berkerjasama semula dengan PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang semakin goyah di Semenanjung Malaysia dilihat akan turut memberi kesan terhadap kedudukan parti itu dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Mohd. Shafie, ketidakstabilan yang berlaku dalam Bersatu bukan hanya akan dihadapi di Sabah tetapi juga di negeri-negeri lain. Keadaan ini akan dapat dilihat dengan lebih jelas menjelang PRU akan datang.

Biarpun beliau tidak ingin menilai apa yang berlaku kepada Bersatu namun, keadaan yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor cukup jelas menunjukkan bagaimana parti yang dahulunya memerintah Johor diambil alih oleh UMNO/Barisan Nasional (BN).

Semasa PRN Johor, biarpun Warisan sudah menjangka akan kalah namun, sekurang-kurangnya beliau dapat memaparkan kepada masyarakat bahawa Warisan bukan parti baharu dan mereka sudah mencuba di Johor malah, berjaya meraih sokongan ribuan pengundi.

Menerusi usaha turun padang yang dilakukan di Johor juga, beliau berpeluang mendengar dan mendampingi rakyat untuk mengetahui sentimen rakyat sebagai persediaan menghadapi PRU15.- UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN