Kereta terbalik, wanita syukur tidak cedera - Utusan Malaysia

Kereta terbalik, wanita syukur tidak cedera

KEADAAN kereta dipandu Siti Norazela Azlan yang terbalik di kawasan rendah di Jalan Simpang Garing, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Berpantang maut sebelum ajal, melihat keadaan kereta Honda City yang terbalik serta remuk sudah membayangkan sama ada pemandunya meninggal dunia atau mungkin mengalami kecederaan parah.

Bagaimanapun mangsa, Siti Norazela Azlan, 26, tidak mengalami sebarang luka atau kecederaan parah selepas kereta dipandunya terbalik sebelum terjunam ke sebuah kawasan rendah di Jalan Garing-Machap, Alor Gajah, awal pagi Sabtu lalu.

Katanya, dia melahirkan rasa syukur kerana tidak luka atau berlaku pendarahan akibat kemalangan tersebut.

Menurutnya, dalam kejadian pukul 5 pagi, dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Selandar selepas selesai berniaga bersama Kelab Rakan Muda Tangga Batu di Bazar Aidilfitri Mega Klebang dekat sini.

Katanya, sewaktu tiba di tempat kejadian, dia gagal melihat kon yang menutup jalan berlubang, lantas menyebabkan dirinya terkejut lalu cuba mengelak hingga menyebabkan kereta berpusing beberapa kali sebelum terbalik.

Jelasnya, dia sempat membuat panggilan kepada suami, saudara-mara, talian kecemasan 999 dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin meminta bantuan kerana tidak dapat keluar apabila tersangkut di tempat duduk.

“Saya tidak ingat berapa kali kereta terbalik dan alhamdulillah saya tidak mengalami sebarang luka atau kecederaan parah. Mujurlah saya memakai tali pinggang keledar jika tidak tak tahulah nasib saya macam mana dalam keadaan kereta terbalik beberapa kali.

“Ketika itu, saya cuma berasa takut berada dalam keadaan gelap dan tidak dapat turun daripada kerusi tempat duduk untuk meminta tolong. Saya dapat mencapai telefon bimbit lalu menghubungi suami, emak mentua dan saudara termasuk menghubungi talian 999 juga tidak berangkat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Siti Norazela, bagaimanapun dia lega selepas panggilan telefon dijawab saudara sebelah suami, lalu mereka datang mengeluarkannya dari kereta.

Jelasnya, dia masih berasa trauma berdepan situasi ngeri yang belum pernah dialaminya sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN