KUBANG PASU: Kerenah birokrasi dalam kerajaan menjadi antara penghalang kepada pendeposit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mendapatkan pulangan dividen lebih tinggi sebelum ini.
Pengerusinya, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu perlu diberi perhatian ketika PTPTN memerlukan kepantasan di pihak kerajaan untuk meluluskan cadangan pelaburan yang diusulkan.
Katanya, setiap cadangan pelaburan yang diangkat kepada kerajaan untuk diluluskan, dinilai secara profesional serta cukup teliti bagi memastikannya mampu memberi pulangan tinggi kepada pendeposit.
“Tetapi kita berdepan cabaran di mana birokrasi dalam kerajaan di peringkat lebih tinggi daripada PTPTN, menyebabkan kita kadangkala terlepas tawaran pulangan tinggi yang diberikan pengurus dana kepada kita.
“Sebagai contoh, katalah pengurus dana tawarkan pulangan 4.75 peratus. Tetapi kalau ambil masa hingga lima atau enam bulan untuk diluluskan, suasana ekonomi akan berubah dan komitmen tersebut mungkin turun jadi 3.5 peratus saja menyebabkan pendeposit kehilangan pulangan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berbuka puasa bersama ahli Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di sebuah restoran, di sini semalam.
Wan Saiful menambah, tindakan untuk memberi pulangan lebih tinggi adalah amat penting buat PTPTN bagi memastikan para pendeposit tidak ‘lari’ untuk membuat simpanan di tempat lain.
“Jadi saya minta supaya proses ini diperbaiki dan dipercepatkan. Kecekapan pihak atasan dalam menilai cadangan PTPTN amat penting bagi memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.
“Sekarang ini prestasi kita baik, sebab itu mereka nak menyimpan dengan kita. Saya harap prestasi sebegini dapat diteruskan kerana kita sememangnya amat teliti sebelum mengangkat apa-apa cadangan kepada kerajaan untuk kelulusan pelaburan,” katanya. – UTUSAN