Kepastian tunai ibadah haji cukup bermakna - Idris

Kepastian tunai ibadah haji cukup bermakna – Idris

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: ‘Berita amat dinantikan bakal jemaah haji Malaysia apabila Kerajaan Arab Saudi akhirnya membuka ibadah itu kepada jemaah luar negara bagi musim haji tahun ini.’ 

Perkara itu dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang memberitahu, beliau sudah meminta Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan segera kepadanya sebaik sahaja kuota haji negara diberi kelulusan oleh Kerajaan Arab Saudi. 

Menurutnya, TH sudah bersiap sedia untuk memastikan kelancaran ibadah haji kepada bakal-bakal jemaah di negara tahun ini. 

“Pada sidang akhbar sebelum ini, saya sudah jelaskan bahawa bakal jemaah haji negara sudah disiapsiagakan. 

“Kita hanya tinggal untuk mendapatkan kuota dan segalanya pasti akan dijalankan dengan paling baik,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini. 

Katanya, dua tahun adalah satu tempoh yang cukup lama bagi mereka yang rindukan bumi haram untuk menunaikan tanggungjawab rukun Islam yang penuh hikmah. 

Idris berkata, pastinya berita itu benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam kelima ini. 

“Jaminan untuk melaksanakan ibadah haji ternyata semakin bersinar dengan pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi. 

“Sesungguhnya kepastian untuk menunaikan ibadah haji ini cukup memberi makna kepada kita semua,” katanya. 

Kerajaan Arab Saudi menerusi Kementerian Haji dan Umrahnya dilaporkan bersetuju membenarkan satu juta jemaah haji menunaikan ibadah itu bagi musim 1443H/2022 kali ini. 

Jumlah yang dibenarkan itu termasuk jemaah antarabangsa dan tempatan dengan meletakkan beberapa syarat iaitu setiap bakal jemaah mestilah berusia 65 tahun ke bawah, lengkap vaksinasi seperti dikehendaki Arab Saudi dan disahkan negatif Covid-19 72 jam sebelum berlepas ke Arab Saudi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN