IPOH: Kenyataan Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari yang mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penjualan tanah lapangan terbang Seri Iskandar adalah tidak adil.
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Abdul Aziz yang juga bekas Exco kerajaan negeri perlu memberikan kerjasama dan tidak merendah-rendahkan SPRM.
Menurutnya, SPRM sedang menjalankan siasatan perkara tersebut dan ia merupakan tindakan yang baik.
“Kenyataan yang dibuat Abdul Aziz tidak adil kepada pihak SPRM kerana saya berpandangan SPRM telah bertindak dengan baik. SPRM sedang menjalankan siasatan, jadi berilah mereka peluang untuk menjalankan siasatan sedalam-dalamnya secara terperinci sebelum mengambil tindakan seterusnya.
“Saya harap apa juga pandangan yang hendak dibuat tidak perlulah sampai tahap hendak merendah-rendahkan satu agensi kerajaan seperti SPRM yang perlu kita letakkan di kedudukan yang tinggi supaya dihormati rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas berbuka puasa bersama warga Kem Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini semalam.
Ditanya mengenai Abdul Aziz yang mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak mengambil tindakan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan, Ahmad Faizal berkata, selain SPRM, pihak PAC juga boleh mengambil tindakan sendiri dalam bidang kuasa masing-masing.
“Sekarang SPRM sedang mengambil tindakan manakala PAC pula boleh mengambil tindakan mereka sendiri dalam bidang kuasa masing masing. Setiap daripada kita termasuk diri saya, kami semua perlu memberikan kerjasama yang sebaiknya,” katanya.
Semalam, Abdul Aziz dalam satu kenyataan menyifatkan kesediaan Ahmad Faizal untuk disiasat oleh SPRM berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang tidak membawa kepada jalan penyelesaian.
Abdul Aziz berkata, ini kerana SPRM sendiri mempunyai beberapa kekangan, termasuk tidak mempunyai kuasa pemutus dalam pendakwaan yang berada pada tangan Peguam Negara.
Abdul Aziz mendesak PAC Perak untuk mengambil tindakan berhubung isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun menziarahi anggota PGA Ulu Kinta, Koperal Mohd. Rosley Rahman, 37, yang diserang strok sejak Februari lalu di kediamannya di dalam kawasan kem itu sebelum majlis berbuka puasa. – UTUSAN