PUTAJAYA: “Tunggulah minggu depan,” itu jawapan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai kelonggaran pemakaian pelitup muka.
Menurut Khairy, apa-apa pengumuman terbaharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) pelitup muka akan diumumkan minggu depan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pelancaran mQUIT Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini.
Sebelum ini, ada khabar angin mengaitkan kononnya kerajaan akan melonggarkan SOP pemakaian pelitup muka memandangkan negara kini sedang menuju ke arah fasa peralihan ke endemik.
Dalam program berasingan, Khairy dalam ucapannya berkata, pihaknya akan mengumumkan kelonggaran demi kelonggaran berkenaan SOP pematuhan dan penguatkuasaan selari dengan kejayaan negara mengawal pandemik Covid-19.
“Tetapi biarlah kita lambat sedikit (umumkan kelonggaran) asalkan kita selamat dan janganlah kita mengulangi kesilapan dari negara lain.
“Antara kelonggaran itu termasuklah membabitkan sambutan hari raya tidak lama lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Institut Endokrin, Hospital Putrajaya, hari ini.
Pada majlis itu, Khairy menyaksikan penyerahan plak institut berkenaan daripada Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman kepada Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.
Dalam pada itu, Khairy berkata, beliau ingin mengingatkan semua bahawa negara masih berada di dalam fasa peralihan endemik dan harus mematuhi segala SOP yang masih berkuat kuasa.
Katanya, beliau melihat pengurusan pandemik di Malaysia pada hari ini semakin berjaya di mana kes semakin terkawal, kemasukan ke hospital semakin menurun, kadar kematian terus menurun dan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) juga menurun.
“Keadaan itu meyakinkan kerajaan untuk memberi segala kelonggaran sehinggalah kita dapat melaksanakan majlis pada hari ini,” katanya.- UTUSAN