KUALA TERENGGANU: Faktor keletihan menjadi punca kesihatan pemain sayap Terengganu FC, Mohd. Faiz Nasir, 29, terganggu hingga terpaksa dirawat di hospital sejak kelmarin.
Bagaimanapun, Mohd. Faiz yang digelar ‘Messi Terengganu’ berkata, tahap kesihatannya kini beransur pulih dan akan dibenarkan keluar hospital dalam masa terdekat.
Katanya, dakwaan kononnya dia berdepan masalah jantung, kanser dan keracunan makanan sepertimana yang tular dalam media sosial sama sekali tidak benar.
“Pemeriksaan doktor tidak menemukan sebarang masalah berkaitan jantung seperti yang disyaki di peringkat awal. Saya bersyukur keadaan makin baik selepas menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Faiz berkata, buat masa ini dia mahu berehat dalam tempoh kira-kira seminggu sebelum kembali menjalani rutin latihan.
Sabtu lalu, pemain lincah skuad Sang Penyu itu dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengadu tidak sihat dan mengalami muntah di kediamannya kira-kira pukul 3 pagi. – UTUSAN










