Kedai buah-buahan hangus terbakar rugi sejuta

Kedai buah-buahan hangus terbakar, kerugian RM1 juta

MOHD. Latif Osman menunjukkan pelbagai jenis buah-buahan yang rosak dan musnah selepas kedai miliknya di Jalan Teluk Wang, Sungai Pasir, Sungai Petani terbakar malam aemalam. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang pekerja di sebuah kedai buah-buahan di Jalan Teluk Wang Besar, Sungai Pasir di sini berdepan detik cemas selepas hampir terperangkap selepas kedai tersebut terlibat dalam kebakaran malam semalam.

Dalam kejadian pukul 12.04 tengah malam itu, Mohd. Zaini Othman, 45, sempat berlari keluar menyelamatkan diri selepas mendapati api marak di bumbung biliknya di premis tersebut.

Menurutnya, ketika kejadian premis terbabit menempatkan pelbagai jenis buah-buahan untuk dijual.

“Pada waktu itu saya baru hendak tidur di dalam bilik yang dijadikan tempat tinggal sejak bekerja di sini kira-kira 15 tahun lalu, sebelum terdengar beberapa letupan kecil dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Dalam kejadian itu, saya tidak sempat menyelamatkan barangan yang terdapat di  premis tersebut termasuk tiga buah motosikal milik rakan sekerja,” katanya semasa ditemui di sini.

Mohd. Zaini yang berasal dariJeniang dekat sini berkata, dia bersyukur kerana sebaik berjaya keluar didapati bumbung biliknya runtuh dan api mula menyambar keseluruhan bangunan dengan pantas.

Tambahnya, dia selepas itu menghubungi pemilik kedai buah-buahan itu, Mohd. Latif Osman, 49, untuk memaklumkan kebakaran tersebut.

Sementara itu Mohd. Latif pula memberitahu, berkata, semua bekalan buah-buahan dan  lima lori pelbagai jenama bersaiz satu tan yang diparkir bersebelahan kedai itu musnah.

“Saya menganggarkan jumlah kerugian keseluruhan akibat kebakaran itu mencecah RM1 juta.” katanya.

Dalam pada itu, Komander Operasi Kanan (KOK), Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Hisham Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.07 pagi.

“Sebanyaj empat jentera masing-masing dua dari Balai Bonba Tikam Batu dan Sungai Petani dikejar ke lokasi untuk memadam kebakaran.

“Bagaimanapun,  tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya