Kebajikan nelayan terbela - Ronald Kiandee

Kebajikan nelayan terbela – Ronald Kiandee

RONALD Kiandee melancarkan Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM di Wisma LKIM, Pulau Meranti, Puchong, Selangor. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar terutama keluarga nelayan sentiasa terbela.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, kementerian turut akan memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan terjamin.

“Kementerian menerusi agensinya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa memainkan peranan penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan. 

“(Ini termasuk) memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara,” katanya ketika berucap melancarkan Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM, di sini hari ini. 

Duit Syiling 50 Tahun LKIM telah direka bentuk dan diterbitkan secara eksklusif oleh Bank Negara Malaysia (BNM) khusus untuk LKIM sempena sambutan jubli emas lembaga tersebut pada 1 November 2021. 

Konsep utama syiling itu adalah daripada gabungan warna dan kesan khas tiga dimensi dan menekankan kepada warna biru sebagai gambaran bahawa laut adalah lubuk peluang iaitu tempat menjadi sumber rezeki kepada para nelayan. 

Pada syiling tersebut terdapat juga ukiran seorang nelayan sedang menarik pukatnya yang sarat dengan ikan segar, iaitu mencerminkan kehebatan tahap kemahiran dan pengalamannya. 

Selain mengetengahkan elemen-elemen utama yang berkait rapat dengan industri perikanan, syiling berkenaan turut mempunyai ukiran khas ‘50 Tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia’. 

Menurut Ronald, Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM yang dilancarkan hari ini merupakan manifestasi atas pencapaian serta kejayaan lima dekad penubuhan lembaga tersebut. 

Beliau berkata, penubuhan LKIM berteraskan sifat dedikasi, kerja kuat dan kesungguhan kerjasama nelayan dan lembaga berkenaan adalah bagi memastikan pembangunan industri perikanan bergerak senada dan efisien. 

“Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki sosioekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan,” katanya. 

Dalam pada itu, Ronald menjelaskan, kerajaan melalui pembentangan Bajet 2022 telah mengumumkan inisiatif padanan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)  dengan pembiayaan sebanyak 80 peratus termasuk sektor perikanan. 

Di bawah inisiatif tersebut, beliau berkata, nelayan hanya perlu membayar baki 20 peratus caruman iaitu sebanyak RM46.60 sahaja melalui potongan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dan layak menerima kenaikan kadar faedah lebih tinggi daripada pelan pertama terdahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya