kartel ayam

Kartel ayam: Ada mahu bantu siasatan

LAPORAN muka depan Utusan Malaysia, Khamis lalu tentang kartel yang didakwa mengawal harga ayam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendedahkan ada pihak sedia bekerjasama bagi membantu siasatan mengenal pasti dalang di sebalik persaingan harga yang berlaku dalam industri ayam ketika ini sehingga mengakibatkan harga ternakan itu tidak menentu di pasaran.

Bagaimanapun MyCC dalam satu kenyataan berkata, pasukan khas yang ditubuhkan susulan arahan Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL) sebelum in masih menjalankan siasatan terhadap industri tersebut.

Katanya, siasatan itu terma­suk menjalankan aktiviti serbuan dan pengambilan kenya­taan perusahaan-perusahaan berkaitan menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Persaingan 2010 untuk tujuan penyiasatan lanjut.

“Dalam masa sama, pihak-pihak tertentu juga telah menampilkan diri dan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan MyCC dalam siasatan melalui permohonan untuk kelonggaran di bawah Seksyen 41 Akta Persaingan 2010.

“Rejim kelonggaran ini membolehkan mana-mana pihak yang terlibat dalam kartel bekerjasama dengan MyCC dalam penyiasatan untuk tujuan mendapatkan kelonggaran dalam keputusan MyCC,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, MyCC menambah, proses penyiasatan terhadap industri itu kompleks dan dijangka mengambil masa apabila bukti dan dokumen yang diperoleh melalui penyia­satan memerlukan penilaian yang teliti.

“Justeru, MyCC mengalu-alukan kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan yang relevan serta orang awam dalam menangani isu tersebut,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin mendedahkan kewujudan komplot atau kartel yang mengawal harga pasaran ayam di negara ini didakwa memanipulasikan harga ternakan itu sehingga tidak menentu di pasaran sejak kebelakangan ini.

Malah, hampir keseluruhan rantaian industri penternakan itu dikawal beberapa kartel besar yang menggunakan persatuan bagi menyembunyikan perbuatan mereka.

Susulan laporan itu, kerajaan mula menyiasat dakwaan wujud kartel yang mengawal pasaran ayam sehingga mengakibatkan harga ternakan itu tidak menentu di pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN