Kanak-kanak perlu pakai pelitup muka masuk bazar di Melaka - Utusan Malaysia

Kanak-kanak perlu pakai pelitup muka masuk bazar di Melaka

ZAIDI Attan bercakap kepada pemberita pada sidang akhbar selepas melawat Melgrab di Jalan Hang Tuah, Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan memperluaskan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkenaan membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan dan Aidilfitri, minggu hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Zaidi Attan berkata, penguatkuasaan itu dibuat selepas meninjau keadaan semasa di bazar yang dilihat sukar mengekalkan penjarakan, sekali gus merisikokan kesihatan anak kecil.

“Saya melihat ada perkara kita perlu perbetulkan berkenaan SOP di mana saya maklumkan sebelum ini, minggu pertama adalah minggu untuk kita mendidik peniaga, penganjur dan rakyat. Mungkin minggu depan saya akan memperluaskan penguatkuasaan SOP membawa kanak-kanak ke bazar selepas saya meninjau keadaan di semua tapak bazar di Melaka,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu segelintir ibu bapa yang sanggup membawa bayi dan kanak-kanak ke bazar Ramadan tanpa memakai pelitup muka, meskipun vaksinasi belum diterima secara menyeluruh.

Zaidi berkata, pihaknya juga akan memanggil kesemua 62 penganjur untuk memastikan tindakan penguatkuasaan yang bakal dijalankan tidak dipertikai, memandangkan peringatan telah diberi sebelum tapak dibuka.

“Sebelum ini kita telah mengadakan sesi taklimat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) serta pihak penganjur merangkumi tindakan tegas yang akan diambil sekiranya SOP tidak dipatuhi. Isnin atau Selasa hadapan saya akan panggil penganjur untuk memastikan selepas ini kalau kita ambil tindakan, dia tak boleh nak marah kerana kita dah berpesan dan ini adalah peringatan kedua,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut bercadang memberikan ruang kepada golongan asnaf untuk turut sama menjadi usahawan mikro dengan memulakan perniagaan kecil menggunakan tanah kerajaan.

“Kalau di bazar ini, kadar sewa tapak antara RM2,500 sehingga RM6,000 mereka mungkin tidak mampu, lainlah kalau RM300 hingga RM500, kita mungkin boleh beri ruang kepada golongan asnaf ini untuk berniaga. Kita mungkin boleh memberikan tapak niaga kepada mereka secara percuma dan mana tahu, kalau ia boleh menjadi pusat penjaja berkekalan seperti di Leypark Station, Ayer Keroh yang disertai 17 golongan asnaf,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN