Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong merupakan rizab pantai

Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong merupakan rizab pantai

ZAIRIL KHIR JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kawasan tanah yang diduduki kira-kira 90 penduduk di Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong di sini merupakan rizab pantai, bukannya kawasan komersial seperti yang sedia ada pada masa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, beliau kesal ada pihak yang memberi gambaran kurang tepat mengenai keadaan di perkampungan tersebut.

“Sepertimana yang dilaporkan, perkampungan tersebut wujud sejak 2005 apabila nelayan-nelayan di sekitar kawasan tersebut mula membina struktur-struktur atas rizab pantai milikan kerajaan negeri.

“Sejak itu, perkampungan tersebut telah berkembang sehingga kini dengan kira-kira 78 struktur, di mana kebanyakannya merupakan struktur bukan kediaman termasuk komersial yang menjalankan perniagaan chalet dan homestay,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai 90 penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjong Tokong di sini yang memohon penjelasan daripada kerajaan negeri tentang pelan pembangunan untuk komuniti nelayan di kawasan tersebut.

Menurut Zairil, pihaknya pernah melawati perkampungan tersebut sejak sebelum beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga iaitu sebagai Ahli Parlimen Bukit Bendera ketika itu.

“Dalam salah satu pertemuan dengan penduduk, mereka akur tanah yang diduduki merupakan rizab pantai milikan kerajaan negeri dan berjanji melepaskan tanah tersebut apabila diminta oleh kerajaan negeri bagi apa-apa tujuan pembangunan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, pada 2017, kerajaan negeri telah menandatangani perjanjian bersama pihak swasta untuk membangunkan sebuah sekolah antarabangsa yang kini merupakan Stonyhurst International School.

“Menurut perjanjian tersebut, antara syarat yang perlu ditunaikan oleh kerajaan negeri adalah untuk mengosongkan kawasan rizab pantai bagi membenarkan aktiviti kesukanan air yang ingin dijalankan oleh pihak sekolah bagi murid-muridnya.

“Namun setelah saya dipilih menjadi ADUN pada tahun 2018, saya telah berbincang dengan pihak Stonyhurst untuk mengkaji semula keperluan untuk mengosongkan keseluruhan rizab pantai tersebut dan pihak Stonyhurst telah pun setuju untuk mengosongkan hanya sebahagian daripada rizab pantai agar aktiviti kesukanan air mereka dapat dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, setelah bancian dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah, didapati sebahagian yang bakal dikosongkan itu hanya melibatkan 12 struktur di mana hanya dua daripadanya merupakan struktur kediaman. 

“Bagi dua rumah yang terlibat, mereka akan ditawarkan dengan rumah mampu milik jenis kos sederhana. Pemilik struktur-struktur yang lain pula akan diberi saguhati ex-gratia.

“Pihak Stonyhurst juga menyatakan komitmen mereka untuk membantu masyarakat setempat dengan memberi peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya