Kampung Petaseh

Kampung Petaseh sering dimasuki banduan larikan diri

RAHMAT Yusof menunjukkan lokasi pencawang elektrik yang menjadi laluan oleh banduan untuk melarikan diri ke Kampung Petaseh, Jelebu semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Sejak tahun 1998, sudah empat kali kejadian banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu atau Institusi Pemulihan Dadah Jelebu di sini akan memasuki kawasan Kampung Petaseh di sini. 

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Petaseh, Rahmat Yusof, 62, berkata, kampung berkenaan sering menjadi lokasi banduan melarikan diri dengan menggunakan laluan di pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd. (TNB). 

“Laluan itu jaraknya dari Penjara Jelebu adalah sejauh 20 kilometer ke kampung ini. Kalau diikutkan tidak sampai satu hingga dua jam mereka (banduan) boleh sampai ke kampung ini dengan mengikut arah pencawang tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Petaseh di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seramai tujuh orang banduan tahanan reman mahkamah  melarikan diri dari Penjara Jelebu pada awal pagi Ahad lalu.

Setakat ini, polis berjaya menangkap semula tiga orang banduan tersebut termasuk seorang banduan bernama Mohd. Zairizan Zainal, 42, yang ditahan di Kampung Petaseh Tengah, Pertang di sini pada pukul 5.15 pagi pada keesokannya.

Sementara itu, menurut Rahmat, dalam kejadian kira-kira 20 tahun lalu, terdapat seorang banduan yang melarikan diri ditemukan di sebuah sungai di belakang rumah penduduk di kampung berkenaan. 

“Kejadian sebelum ini memang berada di kampung ini di mana banduan yang melarikan diri itu ditemui pada waktu siang oleh penduduk kampung dan pihak polis mengambil tindakan yang cepat. 

“Selepas itu, kampung ini sering dipantau oleh pihak polis dengan kerjasama penduduk kampung sekiranya berlaku kejadian serupa. Sekarang ini penduduk kampung tidak keluar rumah kerana bimbang terserempak dengan banduan yang diburu polis. 

“Pada 10 April lalu, suasana di kampung ini sunyi sepi, malah, solat terawih di surau juga tidak ramai penduduk yang hadir kerana masih berada dalam ketakutan. Rumah penduduk juga tidak mempunyai pagar dan kebanyakan yang tinggal di kampung ini adalah warga emas dan golongan pesara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN