SEREMBAN: Seorang juruteknik kilang kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya sindiket penipuan love scam membabitkan penghantaran bungkusan kononnya berisi wang berjumlah AS$1 juta.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, kes bermula pada Januari lalu melibatkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang dihubungi seorang individu menerusi aplikasi Facebook Messenger yang memperkenalkan diri sebagai Mei Ling, seorang doktor dari Yaman.
Jelas beliau, mereka terus berhubung dan menjalin persahabatan sebelum individu terbabit memberitahu, akan menghantar kepada pengadu bungkusan berisi wang AS$1 juta dan pengadu perlu membuat pembayaran bagi penghantaran bungkusan tersebut.
“Pengadu kemudian pada 18 Februari lalu di sebuah bank di bandar ini memasukkan wang RM25,137 ke dalam akaun bank di atas nama Samizah Said. Seterusnya, pada 10 Mac, bertempat di sebuah bank di Nilai, pengadu memasukkan wang berjumlah RM60,650 ke dalam akaun bank yang sama.
“Pada 14 Mac, pengadu memasukkan wang berjumlah RM60,000 ke dalam akaun bank atas nama Sellyhia dan transaksi berkenaan termasuk transaksi sebelumnya adalah kononnya bertujuan bagi melepaskan bungkusan pengadu yang tersangkut di pihak Kastam Kemboja dan lapangan terbang negara itu,” katanya dalam kenyataaan hari ini.
Aibee menambah, pada 28 Mac lalu, individu terbabit memberitahu pengadu bahawa bungkusan tersebut perlu ditukar kepada nama pengadu dan pembayaran sebanyak RM76,686.15 perlu dibuat bagi urusan tersebut.
“Pada hari yang sama di sebuah bank di Lukut, Port Dickson pengadu memasukkan jumlah wang yang diminta ke dalam akaun bank atas nama Samizah Said. Tiga hari kemudian, individu berkenaan sekali lagi meminta pengadu sekali lagi membuat pembayaran RM41,000 kerana bungkusan terbabit didakwa sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Pengadu bagaimanapun tidak membuat pembayaran terbabit kerana tidak mempunyai wang dan berasa telah ditipu oleh individu tersebut. Pengadu datang ke Balai Polis Jalan Campbell dan membuat laporan serta jumlah kerugian yang dialami pengadu adalah RM222,473.15,” katanya.
Menurut Aibee, hasil siasatan awal, pengadu yang telah berkahwin itu mengenali orang yang disyaki lebih kurang satu bulan dan terpedaya dengan kecantikan serta janji manis yang diberikan oleh individu berkenaan.
“Pengadu membuat empat transaksi yang kesemuanya dilakukan secara tunai dan berurusan melalui kaunter bank.
“Orang yang disyaki juga mengajar pengadu untuk menjawab kepada pihak bank bahawa duit-duit tersebut dimasukkan atas urusan membayar hutang, memberi perbelanjaan dan beri pinjaman agar pihak bank tidak mengesyaki apa-apa terhadap transaksi tersebut,” katanya. – UTUSAN