Jumlah kenderaan guna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah kenderaan guna Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dijangka meningkat

FAISAL Shahbudin (tengah) membantu anak-anak yatim membeli-belah pakaian hari raya di Pasar Raya Mydin di Georgetown, Pulau Pinang sempena program CSR JKSB semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) menjangkakan bakal berlaku pertambahan jumlah kenderaan yang menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Faisal Shahbudin berkata, jangkaan itu berdasarkan kepada sambutan Aidilfitri tahun ini yang tidak lagi melibatkan sebarang sekatan untuk merentas sempadan negeri.

“Kita jangka memang akan berlaku pertambahan bilangan kenderaan yang menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dalam tempoh terdekat sebelum Aidilfitri. Bagaimanapun, kami tidak dapat memberikan jumlah jangkaan kenderaan yang sebenar kerana kita mempunyai dua jambatan di negeri ini, jika pengguna tidak gunakan jambatan kedua mereka mungkin akan gunakan Jambatan Pulau Pinang,” katanya selepas menghadiri program membeli-belah sempena Aidilfitri di Pasar Raya Mydin, di sini semalam.

Menerusi program membeli-belah itu, JKSB menyantuni 30 anak-anak yatim berusia antara 10 hingga 12 tahun bagi membeli kelengkapan dan pakaian raya di pusat beli-belah tersebut.

Kesemua anak-anak yatim berkenaan dari Pusat Jagaan Inapan Kasih Sayang, Bertam, dekat sini.

Mengulas mengenai program membeli-belah itu, Faisal berkata, setiap kanak-kanak terbabit diperuntukkan RM250 bagi membeli baju serta kelengkapan untuk menyambut hari raya.

”Program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) JKSB dalam membantu mereka yang memerlukan. Majlis seperti ini juga sebagai salah satu cara untuk kami memberi semula kepada komuniti setempat di mana JKSB beroperasi, kami juga merasakan amat penting untuk menjaga kesejahteraan anak-anak yatim ini,” katanya.

Tambah beliau, selepas sesi membeli-belah, kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hotel Jen Penang untuk menyertai beberapa aktiviti yang dijalankan oleh JKSB sementara menunggu masuk waktu berbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN