Juadah dicemari ulat: PPj keluar notis amaran gerai bazar abai kebersihan  - Utusan Malaysia

Juadah dicemari ulat: PPj keluar notis amaran gerai bazar abai kebersihan 

TANGKAP layar memaparkan satu juadah berbuka yang dibeli di bazar Ramadan Putrajaya yang dicemari ulat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) mengeluarkan satu notis amaran kepada sebuah gerai makanan di Bazar Ramadan Putrajaya, Presint 3 di sini susulan isu kebersihan makanan seperti yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Pengarah Bahagian Kesihatan Persekitaran, Jabatan Perkhidmatan Bandar, Dr. Mohd Helmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengeluarkan notis Amaran dibawah UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016.

Beliau berkata, notis itu dikeluarkan bersabit dengan kesalahan di mana pemegang lesen gagal memastikan kawasan tapak menjaja dalam keadaan bersih.

“Kami sudah membuat pemantauan dan pemeriksaan rapi di keseluruhan kawasan dan gerai Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 termasuk gerai yang terlibat dengan isu kebersihan makanan itu.

“PPj dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya akan terus giat melaksanakan pemantauan serta pemeriksaan kebersihan ke atas semua lot gerai Bazar Ramadan Putrajaya,” katanya.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan satu juadah berbuka yang dibeli di bazar berkenaan yang dicemari dengan ulat.

Video dikongsi menerusi aplikasi TikTok itu tular di media sosial sejak kelmarin sehingga mendapat kecaman dan kritikan netizen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN