JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengeluarkan 161 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan pada Operasi Bersepadu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Skudai, di sini malam tadi.
Pengarah JPJ Negeri Johor, Azmil Zainal Adnan berkata, dalam operasi bermula pukul 8.30 malam itu, sebanyak 347 buah kenderaan diperiksa.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 132 kenderaan dikenakan tindakan dengan 161 notis saman dan lain-lain notis dikeluarkan.
“Tindakan saman dikenakan membabitkan kesalahan seperti tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, lampu HID, cermin gelap, nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ‘extreme’, tayar haus, memasang lampu ‘strobe light’ dan lain-lain kesalahan teknikal.
“Dalam masa yang sama sebanyak lima penahanan dilakukan hasil saringan ujian air kencing positif daripada 15 saringan yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor,” katanya selepas operasi itu di sini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JPJ Negeri Johor, Mohd. Edir Sanip pada operasi yang melibatkan 64 pegawai dan anggota JPJ Negeri Johor, PLUS Ronda dan AADK Johor.
Azmil Zainal memberitahu, pelaksanaan penguatkuasaan Operasi Hari Raya Aidilfitri akan dilaksanakan bermula 29 April sehingga 8 Mei ini dengan slogan ‘Pandu Cermat Dan Selamat Sampai Ke Destinasi’.
Katanya, dalam tempoh tersebut, penguatkuasaan akan berfokus kepada sembilan kesalahan utama dan lima daripadanya akan dikenakan tindakan mahkamah tanpa mendapat tawaran kompaun.
“Objektif utama pelaksanaan operasi ini adalah bertujuan menjaga keselamatan pengguna jalan raya semasa musim perayaan selain memastikan penurunan kadar kemalangan khususnya kemalangan yang boleh membawa maut,” katanya.
Untuk sebarang aduan trafik, pengguna boleh salurkan melalui aplikasi e-Aduan@Jpj atau kepada http://jpj.spab.gov.my berserta butiran pengadu dan butiran aduan. – UTUSAN