Johor mahu 400,000 pekerja di Singapura mencarum Perkeso - Utusan Malaysia

Johor mahu 400,000 pekerja di Singapura mencarum Perkeso

MOHD. Hairi Mad Shah (dua dari kanan) membantu Hasnul Hisham duduk di atas kerusi roda yang diterimanya sambil dibantu Tong Sing Chuang (kanan) sempena Program Solidariti Ramadan Prihatin @ Perkeso di bangunan Perkeso Johor, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membolehkan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura membuat caruman dengan agensi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, usaha itu penting sebagai jaringan keselamatan tambahan kepada mereka yang turut menyumbang kepada ekonomi negara dan negeri.

Katanya, hal itu kerana majoriti rakyat Malaysia yang bekerja di republik berkenaan tidak mempunyai perlindungan insurans sekiranya berlaku apa-apa terhadap mereka.

“Banyak yang Perkeso telah lakukan untuk rakyat negara ini yang mencarum bersama mereka, tetapi sekarang kita juga mahu rakyat yang bekerja di Singapura dibenarkan untuk mencarum dengan Perkeso.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan Perkeso dan perincikan semula untuk mencari kaedah terbaik agar perkara ini dapat dilaksanakan, kerana anggaran 400,000 mereka tiada perlindungan Perkeso.

“Ini penting kerana perjalanan dibuat mereka berulang-alik, keluar pagi dan balik malam ada risikonya. Saya tidak mahu mereka bekerja bawa pulang nafkah tetapi sekiranya berlaku apa-apa kejadian tidak diingini mereka tidak dilindungi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Program Solidariti Ramadan Prihatin @ Perkeso di bangunan Perkeso Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.

Sementara itu, mengulas berhubung pembukaan semula sempadan antarabangsa khususnya sempadan Malaysia-Singapura, Mohd. Hairi mengakui langkah itu dilihat sedang memulihkan ekonomi negeri ini.

“Alhamdulillah ekonomi Johor kembali rancak selepas pembukaan sempadan pada 1 April lalu, kita juga dapat lihat indeks dikeluarkan Jabatan Perangkaan yang menganggarkan secara purata, seorang pengunjung membelanjakan RM665.15 bagi tujuan beli-belah di negeri ini antara 8 April hingga 11 April lalu.

“Itu belum termasuk perbelanjaan penginapan bagi seorang individu yang dianggarkan sebanyak RM528.91 dalam tempoh sama. Jumlah itu secara tidak langsung memberi impak besar kepada ekonomi Johor khususnya,” jelasnya.

Sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura kembali dibuka semula pada 1 April lalu setelah ditutup selama dua tahun lebih bermula 18 Mac 2020 akibat penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN