Jenazah Allahyarham Ali Hamsa tiba di Putrajaya - Utusan Malaysia

Jenazah Allahyarham Ali Hamsa tiba di Putrajaya

JENAZAH Allahyarham Ali Hamsa tiba di kediamannya di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jenazah Allahyarham bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa selamat tiba di kediamannya di Presint 10, di sini pukul 8.26 pagi tadi.

Jenazah dibawa dengan kenderaan jenazah selain diiring ahli keluarga dan polis pengiring.

Ketibaan jenazah disambut ahli keluarga terdekat serta sahabat arwah yang tiba di sini sejak awal pagi.

Sebelum itu, jenazah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.30 pagi tadi.

Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan semalam, memaklumkan jenazah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Presint 3, di sini untuk penghormatan terakhir.

Jenazah akan ditempatkan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni bermula pukul 11 pagi hingga 1 petang.

Menurutnya, pelawat yang ingin memberikan penghormatan terakhir dinasihatkan untuk tiba di dewan bermula 11 pagi hingga ke 1 petang sebelum upacara pengebumian.

Katanya, jenazah akan disembahyangkan selepas solat zohor di Dewan Solat Utama MTMZA.

“Jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20 pada 1.30 petang sejurus selepas selesai solat jenazah untuk pengkebumian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN