SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir mengingatkan seluruh rakyat di negeri ini khususnya beragama Islam supaya tidak menjadikan rumah ibadat sebagai medan politik yang menjurus kepada perpecahan.
Titah baginda, sehubungan itu, semua pengurusan masjid dan surau di negeri ini hendaklah sentiasa mengambil tindakan demi menjamin perpaduan dan kesejahteraan ummah.
“Sewajarnya segala dugaan dan cabaran yang dihadapi mematangkan kita supaya sentiasa bersiap sedia. Kita tidak seharusnya menuding jari dan saling salah menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya, kita perlu mencari jalan penyatuan dan menghindari persengketaan.
“Justeru, beta mengingatkan rakyat beta yang beragama Islam di pelbagai peringkat dan lapisan, agar jangan sesekali menjadikan rumah ibadat sebagai medan politik perpecahan yang merosakkan pengurusan dan pentadbiran Islam di negeri ini,” titah baginda,
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz menzahirkan rasa bangga dengan prestasi kutipan hasil kerajaan negeri sebanyak RM397 juta atau 89 peratus daripada yang disasarkan dalam keadaan yang penuh kesukaran pada tahun 2021.
“Walaupun jumlah kutipan hasil tidak menepati sasaran seperti yang dirancang, namun kutipan hasil bagi tahun 2021 masih boleh dianggap pada prestasi yang membanggakan memandangkan pandemik Covid-19 masih belum berakhir.
“Kerajaan beta mampu mengutip sebanyak RM397 juta atau 89 peratus daripada yang disasarkan dalam keadaan yang penuh kesukaran.
“Pencapaian ini adalah hasil dedikasi dan kerjasama jabatan-jabatan pemungut hasil, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan negeri yang terus merangka strategi dan mencari sumber-sumber baharu dalam usaha meningkatkan prestasi kutipan,” titah baginda lagi.
Dalam titah tersebut, Tuanku Muhriz juga berbesar hati apabila kerajaan negeri berjaya mencatatkan pelaburan RM5.8 bilion pada tahun lepas di sebalik krisis pandemik Covid-19.
Menurut baginda, kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun telah memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda utama kerajaan dan pencapaian itu juga melebihi sasaran RM5 bilion ditetapkan termasuk 3,000 peluang pekerjaan dapat ditawarkan. – UTUSAN










