PUTRAJAYA: Golongan peniaga disaran menerapkan jalinan persahabatan dan tanggungjawab dalam membantu rakyat yang tidak berkemampuan terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, golongan peniaga tidak boleh mengambil kesempatan daripada kesusahan orang ramai sebaliknya, cuba menolong mereka supaya semua pihak dapat menyambut hari lebaran semeriah mungkin.
“Kalau MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) sebelum ini ada Bakul MAFI Prihatin, jadi kali ini bila dekat dengan hari raya, (kita anjurkan My Best Buy) satu jualan yang memberi peluang kepada semua golongan sama ada berpendapatan rendah, dia akan dapat memiliki barangan untuk menyambut hari raya.
“Kita doakan jalinan persahabatan dan tanggungjawab ini diambil oleh semua pihak bukan sahaja MAFI tetapi juga mana-mana peniaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program My Best Buy di Wisma Tani, di sini hari ini.
Program My Best Buy yang berlangsung bermula 25 hingga 27 April di pekarangan Wisma Tani itu menyaksikan penjualan barangan pada harga yang lebih murah.
Nik Muhammad Zawawi berkata, sambutan jualan tersebut dilihat sangat baik dengan penawaran pelbagai barangan yang menarik untuk para pengunjung.
“Jualan ayam sebagai contoh daripada RM23 satu beg iaitu dua kilogram (kg), hari ini kita jual harga RM15 untuk dua kg. Kemudiannya kami bagi baucer RM5 maknanya harga ayam menjadi RM10 pada hari ini. Sememangnya jualan tadi tak sampai satu minit habis belaka, berebut-rebutlah,” katanya.
Beliau menambah, jualan itu turut mengetengahkan aspek kesegaran barangan seperti sayuran, buah-buahan serta barang basah seperti daging, ayam, ikan, sotong dan udang.
“Kita ada juga barang-barang yang dikeluarkan oleh MAFI seperti sambal daging dan peralatan masakan yang segera. Pelbagai jenis barang dijual, Alhamdulillah sambutan adalah sangat baik,” katanya.
Ditanya tentang sasaran MAFI untuk program tersebut, beliau berkata, pihaknya menumpukan jualan itu kepada warga Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan juga warga kementeriannya.
“(Ini juga khas untuk warga MAFI kerana) Mereka bertungkus-lumus sebelum ini untuk memberi jaminan makanan kepada negara dan rakyat seluruh negara. Jadi kita hadiahkan kepada mereka jualan yang sangat istimewa,” katanya. – UTUSAN










