Menteri Besar

Jadi pemimpin mesti kena berani

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK genap sebulan Johor Darul Ta’zim menerima Menteri Besar baharu ke-19 yang menerajui antara negeri terpenting di Malaysia dan bersempadan pula dengan negara maju, Singapura.

Johor adalah negeri yang istimewa. Rakyatnya yang berbilang kaum dan agama menghiasi 10 buah daerah.

Besar tanggungjawab seorang ketua negeri untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan 3.52 juta rakyatnya terbela.

Alasan ketidakstabilan pembangunan dan ekonomi Johor akibat faktor politik sebelum ini telah ‘dibetulkan’ melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Mac lalu.

Ia menyaksikan kerajaan ne­geri yang baharu mendapat mandat jauh cukup selesa sehingga 40 daripada 56 kerusi.

Namun, episod pasca PRN Johor rupa-rupanya tidak berapa enak untuk didengari bukan sahaja dalam kalangan pemerhati politik tetapi rakyat negeri Johor dan Malaysia secara amnya walaupun ‘krisis’ itu kini nampak seperti berkurangan secara tersurat.

Mereka menyambut baik pelantikan pemimpin muda menerajui negeri sebagai antara yang boleh dianggap transformasi terbesar dalam politik. Tetapi apa yang berlaku kini banyak perkara tidak ‘sedap’ diperkatakan.

Mereka ternanti-nanti apa pembaharuan yang mahu dibawa terhadap negeri dan rakyat Johor khususnya selepas pandemik Covid-19 yang menyaksikan Johor menerima impak yang hebat lebih-lebih lagi ketika pintu sempadan ditutup.

Visi dan misi sebagai pentadbir baharu negeri Johor juga masih tidak jelas. Tidak ada pengumuman-pengumuman yang melegakan rakyat melainkan perancangan itu dan ini yang mahu cuba dilakukan.

‘Rakan-rakan media’ bukan tidak mahu membantu mengete­ngahkan perkara-perkara itu, memang mereka amat ternanti-nantikan pengumuman yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Perkara biasa sekiranya sesuatu perkara yang diumumkan dikritik pelbagai pihak. Tidak lain ia bertujuan sebagai semak dan imbang yang peranan itu boleh dimainkan oleh media agar mendapat hasil yang lebih baik di kemudian hari.

Bukan berniat untuk menjatuhkan sesiapa, institusi atau apa sahaja entiti yang berkaitan tetapi sekiranya engagement dengan ‘rakan media’ pun seperti tidak kelihatan, bagaimana mereka mahu membantu.

“Jangan mimpi lah”. Itu kata seseorang yang diajukan soalan sama ada boleh atau tidak pihak media mahu mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk mengetahui hala tuju, visi dan misi serta perancangan beliau.

Mengapa cipta ‘sekatan’ yang tidak patut diwujudkan sedangkan halangan rakyat Johor nak balik dari Singapura ke kampung halaman pun sudah dibuka.

Setakat ini dalam rekod, hanya empat ‘sidang akhbar’ diadakan beliau. Itu pun hanya perkara berkaitan program boleh ditanya.

Soalan panas, ‘perangkap’ daripada media itu biasa, yang penting kena cerdik dan bijak ketika menjawab atau memilih menjawab secara profesional tanpa perlu emosional dan bukannya hanya mengadakan sidang akhbar tanpa ada soal balas.

Jika yang ditanya itu seorang ketua kampung atau penghulu sesuailah jika mereka hanya boleh menjawab berkaitan kampung dan kawasan mereka sahaja tapi sebagai orang nombor satu di negeri mesti banyak perkara perlu dijawab.

Tak kan liputan media untuk Menteri Besar hanya melalui sedutan di Facebook rasmi yang kadang-kala memeningkan pemberita untuk mencari nilai berita yang terkandung dalam kenyataan ringkas itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN