PUTRAJAYA: Jaga nama baik Bazar Ramadan Putrajaya dan kemuliaan bulan Ramadan.
Itu tegas Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung isu makanan berulat membabitkan sebuah gerai di Bazar Ramadan Putrajaya, semalam.
Tengku Adnan berkata, beliau mahu orang ramai supaya segera melaporkan kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) atau Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya jika mengesan isu makanan tidak bersih di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini.
“Semalam, saya dapat berita kononnya ada gerai di sini menjual mi goreng yang dicemari dengan ulat,” katanya ketika menyampaikan apron dan topi kepada peniaga di Bazar Ramadan Putrajaya, semalam.
Pada masa sama, Tengku Adnan berkata, beliau yakin bahawa peniaga di sini sentiasa menjaga kebersihan, malah PPj juga sentiasa memantau soal kebersihan serta kualiti makanan di bazar ini.
Katanya, halal itu bukan bermaksud sembelihan sahaja, sebaliknya ia termasuk dari segi penyediaan makanan, amalan kebersihan baik dan cara memasak.
Sebelum ini, tular video seorang pengguna media sosial yang berkongsi mi goreng yang dibelinya di bazar berkenaan telah dicemari dengan ulat.
Video dikongsi menerusi aplikasi TikTok itu tular di media sosial sejak kelmarin sehingga mendapat kecaman dan kritikan netizen.
Bagaimanapun, PPj sudah mengeluarkan satu notis amaran kepada gerai berkenaan mengikut UUK 30(1)(c), Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WP Putrajaya) 2016.
Notis itu dikeluarkan bersabit dengan kesalahan di mana pemegang lesen gagal memastikan kawasan tapak menjaja dalam keadaan bersih. – UTUSAN










