Isteri Guan Eng, peguam, penyokong tidak dibenar masuk mahkamah - Gobind - Utusan Malaysia

Isteri Guan Eng, peguam, penyokong tidak dibenar masuk mahkamah – Gobind

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang peguam mengemukakan aduan di Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beberapa pihak termasuk isteri Lim Guan Eng tidak dibenarkan mengikuti perbicaraan kes rasuah berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Gobind Singh Deo ketika membangkitkan perkara tersebut berkata, selain Betty Chew beberapa peguam yang turut membantu pihak pembelaan serta sebilangan penyokong Guan Eng juga dilarang oleh pihak polis memasuki kamar bicara.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bagi mengekang penularan Covid-19, prosedur operasi standard (SOP) mengehadkan kapasiti kehadiran orang awam dalam mahkamah terbuka.

Bagaimanapun, Hakim Azura Alwi menyatakan beliau tidak dimaklumkan berhubung perkara tersebut dan pihaknya tertakluk kepada keputusan jawatankuasa keselamatan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Jelas beliau, orang awam dibenarkan memasuki mahkamah terbuka tertakluk kepada senarai kehadiran yang dikemukakan dan SOP yang ditetapkan oleh jawatan kuasa keselamatan.

Sementara itu, Gobind memaklumkan, pada sesi prosiding sebelum ini, Betty dan beberapa penyokong Guan Eng dibenar menghadiri perbicaraan selepas mengemukakan senarai nama kepada pihak mahkamah.

Sehubungan itu, peguam memberi jaminan senarai nama akan dihantar oleh pihak pembelaan kepada mahkamah dua hari sebelum perbicaraan.

Perbicaraan kemudian disambung dengan mendengar keterangan tiga saksi pendakwaan yang dipanggil untuk mengemukakan minit-minit Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang sebagai eksibit.

Mereka terdiri daripada M. Maheswari, S. Vijayalakshmi dan Ng Wee Kok.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu, saksi pendakwaan ke-11, bekas Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Datuk Faiza Zulkifli tidak hadir kerana dijangkiti Covid-19.

Perbicaraan bersambung 26 Mei.

Guan Eng didakwa atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dilantik melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Selain itu, beliau didakwa terhadap tuduhan pindaan meminta suapan iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul Ahmad sebagai upah membantu syarikat miliknya dilantik melaksanakan projek itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara pukul 12.30 pagi dan 2 pagi, pada bulan Mac 2011 berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini.

Ahli Parlimen Bagan itu turut didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di sana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya