KOTA KINABALU: Keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri mencerminkan kematangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, Ismail Sabri telah membuktikan prestasi yang cemerlang dalam urusan pentadbiran negara.
Malah, beliau memberi penekanan terhadap semua apsek termasuk kestabilan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat.
“Keputusan yang dipersetujui MKT UMNO ini adalah cerminan kepada kematangan UMNO dan BN dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas utama dalam urusan pentadbiran negara.
“Pemilihan itu akan memudahkan tugasan pimpinan parti dalam merencanakan hala tuju negara demi kestabilan dan kesinambungan dasar negara sedia ada. Ia membolehkan kesejahteraan dan keharmonian rakyat terus terbela di bawah pemerintahan BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, PBRS menyokong penuh keputusan MKT UMNO yang sebulat suara bersetuju mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mengulas lanjut katanya, PBRS sebagai parti komponen tunggal BN di Sabah percaya hala tuju yang dibawa pimpinan kerajaan pada masa kini berada di landasan yang tepat.
Joseph berkata, komitmen yang telah diberikan kerajaan hari ini kepada Sabah amat dihargai. Ia termasuk kejayaan mendapat sokongan dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengiktiraf kedudukan Sabah dan Sarawak setaraf dengan Semenanjung Malaysia.
Selain itu, kerajaan juga menaikkan pemberian khas kepada Sabah dibawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan sebanyak 4.7 kali ganda menjadi RM126 juta.
Malah, kerajaan hari ini komited untuk menyiapkan baki 19 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dalam tempoh lima tahun.- UTUSAN










