Inkues bayi terjerut buaian 30 Mei ini

Inkues bayi terjerut buaian 30 Mei ini

SITI KAMSIAH HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pejabat Peguam Negara mengarahkan satu inkues diadakan berhubung kes kematian bayi perempuan 15 bulan dalam jagaan di sebuah pusat asuhan di Seremban, Negeri Sembilan pada Februari lalu.

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, susulan arahan berkenaan, mahkamah menetapkan inkues tersebut dijalankan bermula 30 Mei depan.

Kata beliau, siasatan berhubung kes terbabit sudah selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Kita telah menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan arahan supaya inkues diadakan.

“Justeru, mahkamah menetapkan 30 Mei ini sebagai tarikh permulaan inkues,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian pada 22 Februari itu, bayi berkenaan, Nour Rania Asyifaa Yuseri, ditemui tidak sedarkan diri selepas lehernya didakwa tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan terletak di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 4.30 petang selepas seorang wanita yang juga pengasuhnya membawa mangsa ke situ.

Susulan daripada itu, polis mengesahkan telah mengambil keterangan 18 individu, termasuk pengasuh, selain ibu bapa bayi dan kanak-kanak lain yang dihantar ke pusat asuhan terbabit.

Jelasnya, hasil bedah siasat Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, merumuskan punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher.

Siasatan awal polis juga mendapati pusat jagaan kanak-kanak itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi sejak penghujung tahun 2019.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Pada 30 Mac lalu, bapa bayi terbabit, Yuseri Yusoff, 39, turut dilaporkan meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkembangan siasatan polis yang didakwa belum menunjukkan sebarang perkembangan positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN