Infak barangan kitar semula, bantu rumah kebajikan tebus wang tunai

Infak barangan kitar semula, bantu rumah kebajikan tebus wang tunai

PENGURUS Operasi Wilayah Negeri Sembilan SWM Environment, Tee Wei Ming (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Perempuan Mawarku, Suardi Sawai Canon (dua dari kiri) pada program SWM Kasih Santun Ramadan di Seremban, semalam.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pada kebiasaannya urusan infak dilakukan menggunakan wang tunai sumbangan barangan keperluan, tetapi orang ramai di Negeri Sembilan kini boleh melakukannya dengan menggunakan bahan buangan yang boleh dikitar semula.

Ia menerusi program KITARecycle yang dilaksanakan oleh syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment)

Menurut Pengurus Besar Korporatnya, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin, orang ramai yang berminat untuk melakukan infak itu boleh menyerahkan bahan-bahan yang boleh dikitar semula yang telah dikumpul kepada rumah kebajikan yang mendaftar dalam program KITARecycle.

Katanya, rumah kebajikan berkenaan pula akan mendapatkan mata ganjaran yang boleh ditebus dengan wang tunai mengikut barang-barang yang diserahkan tersebut.

“Usaha ini bukan sahaja dapat memberikan sumbangan kepada anak yatim dan asnaf tetapi ia dapat menjaga alam sekitar. Sehingga kini terdapat empat rumah kebajikan dan perlindungan yang berdaftar di bawah KITARecycle di sekitar Seremban,” katanya hari ini.

Tambahnya, menerusi program berkenaan, wang yang dikumpulkan itu juga dapat mengurangkan kos operasi rumah kebajikan yang terlibat. 

“Mata ganjaran yang dikumpul boleh ditebus kepada wang tunai melalui perbankan dalam talian terus ke dalam bank akaun rumah kebajikan tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, katanya, SWM Environment menerusi program tanggungjawab sosial korporat juga telah menyemarakkan bulan Ramadan tahun ini dengan menyantuni golongan anak-anak yatim termasuk dari Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Perempuan Mawarku, di sini.

Menerusi program SWM Kasih Santun Ramadan itu syarikat itu hadir dengan memberi sokongan dan bantuan kepada penghuni-penghuni di rumah kebajikan terlibat menerusi sumbangan sebanyak RM1,000 selain barangan berbentuk keperluan harian dan peralatan menulis kepada penghuninya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.