Industri teksi: Rakyat marhean tak faham keadaan sebenar

Industri teksi: Rakyat marhean tak faham keadaan sebenar

Pemandu teksi kini lebih banyak menunggu ekoran permintaan berkurangan ekoran saingan daripada perkhidmatan e-hailing. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) menyifatkan rakyat marhaen di negara ini tidak memahami keadaan sebenar yang terjadi dalam industri teksi negara ini.

Ia susulan reaksi orang ramai terhadap laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung kira-kira 80,000 daripada 120,000 pemandu teksi di negara ini terpaksa ‘menggantung kunci’ dan mencari pekerjaan lain selepas tidak mampu bersaing dengan perkembangan pesat perkhidmatan e-hailing.

Ketua Aktivisnya, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, kehancuran industri teksi negara bukan disebabkan pemandu teksi tidak mahu melakukan perubahan, sebaliknya kehancuran itu berpunca daripada kerakusan pemerintah terdahulu khususnya orang-orang politik dan kapitalis.

KAMARUDIN MOHD. HUSSAIN

“Pemerintah terdahulu khususnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dihuni orang-orang politik dan lain-lain adalah penyebab utama kerosakan industri teksi negara.

“Saya percaya, ramai yang tidak faham senario sebenarnya dan sekadar memberi komen mengikut fahaman sendiri tanpa memahami keadaan sebenar. Sebenarnya Grab adalah MyTeksi, tetapi kerana pemerintah terdahulu tidak jujur, Grab mengkhianati kami yang memajukan mereka.

“Pada suatu ketika dahulu sebelum MyTeksi menukar nama kepada Grab, hampir 80 peratus hingga 90 peratus pemandu teksi di Lembah Klang menggunakan MyTeksi termasuklah saya sendiri.

“Namun malangnya kerana kuasa politik dan wang, SPAD dan kerajaan ketika itu bersekongkol dengan MyTeksi atau Grab bagi membenarkan kenderaan persendirian yang jelas melanggar Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta 715 Akta Pengangkutan Awam Darat beroperasi seperti kenderaan komersial (Teksi), walhal ia satu perbuatan merogol keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Kamarudin, bukan hanya, malah demi melindungi kepentingan syarikat kapitalis Grab, SPAD dan kerajaan mewujudkan peraturan yang berat sebelah dan memihak kepada Grab. 

Malah, Perdana Menteri ketika itu juga menggalakkan orang ramai yang kehilangan pekerja untuk memandu Grab dengan beberapa inisiatif diberikan. 

“Tindakan menggalakkan orang ramai yang kehilangan pekerja itu merompak pendapatan kami dan mengkayakan syarikat kapitalis, tetapi tak cukup dengan itu kami dituduh tidak mahu berubah dan menolak kemajuan teknologi.

“Sehingga kini isu ketidaksamarataan di antara teksi dan e-hailing terus berlaku, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan dan kerajaan telah bersilih ganti, namun malangnya pihak yang menjadi kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan masih enggan membetulkan keadaan dan membiarkan keadaan tidak adil di antara teksi dan e-hailing terus berlaku.

“Kesudahannya, bukan sahaja pemandu teksi tidak mampu bersaing, malah pemandu e-hailing juga menderita kerana terpaksa jalan dengan harga sampah,” ujarnya. 

Tambah beliau, untuk menyelesaikan isu kesamarataan itu, pihaknya sudah berkali-kali menyarankan kerajaan supaya mewujudkan peraturan yang adil di antara teksi dan e-hailing, malah berkali-kali menyarankan supaya kerajaan mewujudkan aplikasi e-hailing milik kerajaan. 

“Dengan adanya aplikasi e-hailing milik kerajaan itu, banyak perkara dapat dilakukan yang bukan sahaja dapat menyelesaikan isu ketidaksamarataan diantara teksi dan e-hailing, bahkan wang berbilion ringgit yang terkumpul hasil komisyen transaksi tempahan penumpang dapat digunakan untuk menaik taraf mutu perkhidmatan teksi serta menjaga kebajikan pemandu.

“Namun malangnya, sehingga kini tidak ada satu kerajaan pun yang prihatin terhadap isu ini dan mempunyai hati dan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah ini apatah lagi menjaga kebajikan pemandu (rakyat marhaen).

“Kementerian Pengangkutan terus membiarkan rakyat yang memandu teksi dan e-hailing menjadi mangsa kapatilis, malah Pejabat Perdana Menteri masih terus membisu berhubung surat-surat rintihan yang telah kami hantar berkali-kali,” jelasnya. 

Justeru, Kamaruddin memohon simpati rakyat netizen supaya menilai isu ini dengan hati yang bersih dan usah bersama-sama bersubahat menabur fitnah dan bersekongkol dengan pihak yang membuat zalim kepada mereka yang memandu kenderaan perkhidmatan awam darat yang cuma mangsa keadaan. 

“Mudah-mudahan ini sedikit sebanyak dapat mendedahkan perkara sebenar, segala kerajaan tidak mewujudkan kesamarataan selagi itu masalah ini tidak akan selesai sekalipun kami membangunkan aplikasi e-hailing kami sendiri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya