operasi mencari

Indonesia tamat operasi mencari penyelam remaja Belanda

OPERASI Carilamat yang dikoordinasikan oleh Basarnas, Indonesia ditamatkan susulan tiada petunjuk atau penemuan mangsa selepas seminggu di sekitar perairan negara itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Setelah tujuh hari pencarian, Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) Indonesia menghentikan operasi mencari penyelam remaja warga Belanda, Nathan Renze Chesters yang dipercayai hanyut ke perairan negara itu.

Remaja berusia 14 tahun itu antara empat penyelam Eropah termasuk bapanya yang menjalani latihan selam skuba berhampiran Pulau Tokong Sanggol, di sini pada 6 April lalu sebelum dilaporkan hilang akibat dihanyutkan arus.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, operasi oleh negara itu ditamatkan secara rasmi sekitar pukul 7 petang semalam berikutan tiada sebarang petunjuk dan penemuan mangsa di perairan Pulau Bintan, Indonesia.

Katanya, Pusat Operasi Basarnas Tanjung Pinang mengumumkan penutupan operasi setelah tujuh hari pencarian bermula pada 10 April di sektor perairan Indonesia itu tidak menunjukkan sebarang petunjuk dan penemuan.

“Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) juga memaklumkan kepada pihak kedutaan Britain dan Belanda mengenai laporan tamat Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Indonesia itu.

“Op Carilamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa negara itu melibatkan sebuah kapal Tentera Nasional Indonesia, sebuah kapal dari Badan Keamanan Laut Indonesia, Polis Perairan Indonesia dan sebuah kapal Basarnas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairul Nizam, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama semua pihak yang terlibat sepanjang operasi tersebut.

Katanya, diharapkan kerjasama dalam kalangan jabatan dan agensi terlibat terus diperkukuh agar keselamatan dan kesejahteraan komuniti maritim di perairan negara kekal terjamin.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Maritim Malaysia mengumumkan operasi mencari remaja itu ditamatkan pada 9 April lalu susulan penemuan dua penyelam lain iaitu bapanya, Andrian Peter Chester, 46, dan Alexia Alexandra Mollina, 18, di perairan Indonesia.

Penyelam remaja warga Belanda itu disahkan meninggal dunia oleh bapanya yang sebelum itu diselamatkan nelayan Indonesia dipercayai akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan setelah beberapa hari berada di lautan.

Empat penyelam tersebut sebelum ini hilang ketika menyelam bagi mendapatkan lesen Advance Open Water dan tidak timbul semula ke permukaan selepas satu jam melakukan aktiviti berkenaan.

Bagaimanapun, jurulatih selam, Kristine Grodem, 35, warga Norway ditemukan kira-kira 30 batu nautika dari lokasi terakhir oleh bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand, pada pukul 8.15 pagi keesokan harinya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN