KUANTAN: Kementerian Luar mengesahkan terdapat 16 warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Kemboja dan kesemua mereka dihantar ke balai polis Phnom Penh untuk siasatan lanjut.
Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan akan menyiasat sama ada 16 orang yang ditahan tersebut termasuk dua orang sepertimana dinyatakan oleh Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.
“Setakat ini, identiti mereka belum boleh didedahkan namun pihak kedutaan telah pun melawat mereka di sana.
“Kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan kita telah memberi segala bantuan diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-42 Persatuan Hindu Sanggam Malaysia Cawangan Kuantan, di sini hari ini.
Sementara itu, Saifuddin mengingatkan rakyat negara ini yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara supaya membuat pengesahan terlebih dahulu.
Tambahnya, pengesahan perlu dibuat dengan pihak berkuasa supaya tidak menjadi mangsa sindiket pekerjaan.
“Sebagai contoh, apabila kita menerima tawaran pekerjaan seperti di Kemboja hendaklah semak dahulu dengan Kementerian Luar di Putrajaya atau kedutaan negara tersebut.
“Selain itu, pastikan juga kita mempunyai visa pekerjaan yang sah sebab kita tidak boleh masuk ke mana-mana negara asing untuk bekerja tanpa ada visa pekerjaan,” katanya. – UTUSAN










