Ibu tunggal rayu bantuan tiga anak OKU - Utusan Malaysia

Ibu tunggal rayu bantuan tiga anak OKU

SAIZANA Ermah Hamdan menjaga tiga anaknya yang merupakan OKU di Simpang Tiga, Rungkup di Bagan Datuk. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Seorang ibu tunggal di Simpang Tiga, Rungkup di sini memohon bantuan pihak yang berkenaan untuk menampung keperluan tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Saizana Ermah Hamdan, 35, menjaga tiga anaknya iaitu Muhammad Emariz Adam, 10; Aaira Syifaa, 5; Muhammad Afnan, 4, yang kesemuanya mengalami masalah pendengaran.

Menurutnya, dalam usia tersebut, ketiga-tiga beradik itu masih belum boleh bercakap dan berjalan apatah lagi untuk menguruskan diri sendiri.

“Doktor mengesahkan anak saya mengalami penyakit dikenali global development delay atau perkembangan atau pembesaran lewat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Saizana Ermah, dia sudah bercerai dengan suaminya beberapa bulan lalu kerana tidak mampu untuk menjaga suaminya yang menghadapi masalah kesihatan.

Jelasnya, berikutan itu, dia yang tidak bekerja, kini berseorangan menguruskan semua keperluan seharian anak-anaknya.

Katanya, selain kurang upaya, anaknya juga mengalami masalah tidak tahan panas dan akan menangis jika berasa panas.

“Kerana tidak tahan panas, ketiga-tiga anak saya memerlukan penyaman udara terutama semasa tengah hari, jika tidak mereka berasa tidak selesa dan akan menangis.

“Penggunaan alat itu menyebabkan bil elektrik naik dan ini membebankan saya untuk membayarnya,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana ketiga-tiga anak itu memperoleh bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya menggunakan wang bantuan itu untuk keperluan anak-anak seperti ubat, lampin, susu, kos pengangkutan untuk rawatan anak-anak di Hospital Teluk Intan dan bil utilit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN