KLANG: Seorang bekas pekerja pengendali peralatan kontena di Pelabuhan Utara kini bergantung kepada pencen ilat untuk meneruskan kehidupan dan bergantung bantuan perubatan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Situasi itu dihadapinya tujuh tahun lalu ekoran menghadapi masalah kesihatan apabila perutnya dipenuhi air dan membesar sehingga ukur pinggangnya melebihi dua meter.
Disebabkan itu, Ahmad Shahrul Nizam Nayan, 54, terpaksa berhenti kerja dan kini terlantar kerana tidak mampu berdiri apabila beratnya sekarang mencecah 216 kilogram (kg).
Dia yang tinggal di Kampung Nelayan Teluk Gong di sini berkata, penyakitnya itu tidak pulih walaupun sudah tujuh tahun menerima rawatan di hospital.
“Selepas disahkan tidak sihat oleh Lembaga Perubatan tujuh tahun lalu saya tidak bekerja lagi dan dalam masa sama perut terus membesar hingga berat badan saya meningkat daripada 90kg tujuh tahun lalu.
“Apabila diserang sesak nafas sememangnya menjadi masalah untuk saya naik ambulans hingga menyebabkan kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menghantar saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR),” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Ahmad Shahrul Nizam yang dijaga isterinya, Rahayu Abdul Malik, 52, berkata, dia mendapat pencen ilat bulanan RM1,400 dan bantuan perubatan daripada LZS sebanyak RM400.
Katanya, pendapatan tersebut tidak dapat menampung kos perubatan, sewa beli rumah, makanan seharian dan bil utiliti.
“Bantuan yang saya perlukan adalah untuk menampung kos perubatan, peralatan rawatan melecet kulit dan lain-lain ubat yang melebihi RM900 sebulan.
Ujarnya lagi, anak-anaknya, Mohd.Hazrin Shah, 31, Siti Nur Syafinaz, 30, dan Mohd.Aminuddin Shah, 29, hanya bekerja sebagai kakitangan swasta dengan pendapatan sederhana dan mempunyai komitmen masing-masing.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 012-2087765 atau membuat sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 10104-41-00010574-7 atas nama Ahmad Shahrul Nizam Nayan.- UTUSAN










