IPOH: Umat Islam wajib berpegang kepada al-Quran dan menghayati seluruh nilai yang ada di dalamnya untuk diamalkan secara penuh jika mahu kembali mencapai tahap kegemilangan seperti sebelum ini.
Menurut teks khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini, jika ayat-ayat al-Quran dibaca tanpa fahaman dan penghayatan, ‘roh’ dalam kitab suci itu tidak akan meresap dan hidup dalam jiwa manusia yang membacanya.
Tegas teks itu, kegagalan berbuat demikian menyebabkan hari ini masih terdapat orang-orang yang tanpa segan silu dan malu, melakukan pelbagai kemungkaran seperti bersifat munafik, berdusta, merompak dan mencuri, melakukan rasuah dan pecah amanah, mengamalkan riba, berzina, derhaka kepada ibu bapa dan pelbagai kemungkaran lain.
Menurut teks yang bertajuk ‘al-Quran: Muljizat Kurniaan Ilahi’ sempena sambutan Nuzul Quran Selasa ini, generasi para sahabat Nabi Muhammad SAW menjadikan al-Quran sebagai rujukan dan menerokai mukjizatnya.
“Mereka mengambil manfaat kitab suci dengan memahami dan mengamal kandungannya sehingga berjaya membina budaya hidup bertamadun tinggi.
“Mereka tidak memisahkan dunia dengan akhirat, malah dunia ditadbir urus sebaik mungkin menurut prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran kerana sedar kitab suci itu ialah sumber kekuatan ilmu bagi umat Islam,” jelas teks tersebut.
Menurut teks itu, al-Quran berperanan memberikan petunjuk dan ilham sehingga terlahirnya tokoh-tokoh ilmuwan dan pemikir seperti Imam As-Syafie, Imam Bukhari, Ibnu Khaldun, Al-Khawarizmi dan ramai tokoh lain yang menjadi pencetus kepada peradaban dan kemajuan dunia hari ini.
Jelasnya, sejak kitab suci diturunkan, masyarakat Arab, khususnya umat Islam mengalami perubahan kehidupan yang lebih bermakna dengan para sahabat menjadi produktif, berani, berprinsip, berdisiplin, menjulang kebenaran dan menegakkan keadilan.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, gabungan al-Quran dan hadis telah menjadi tunggak utama yang membantu membangunkan peradaban Islam yang gemilang melalui barisan kepemimpinan generasi sahabat dan diteruskan oleh generasi berikutnya.
Justeru, umat Islam diseru mempertingkatkan pendidikan al-Quran bermula dari awal agar nilai-nilai yang terkandung dalam kitab itu disemai ketika anak-anak masih kecil. – UTUSAN










