Hasni tegur Puad beri peringatan ketika sidang DUN

Hasni tegur Puad beri peringatan ketika sidang DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi tidak sepatutnya mengulangi peringatan agar tidak menjadikan dewan sebagai ‘sangkar beruk’.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, Mohd. Puad tidak seharusnya berkata demikian, meskipun sekadar untuk mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Sebagai Speaker dan Ahli Dewan, seeloknya beliau beri jaminan serta mengutarakan pelan tindakan bagi memperkuat institusi demokrasi negeri dalam masa terdekat.

“Dalam konteks kedudukan beliau, reformasi politik, mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada institusi demokrasi serta ahli politik adalah lebih mustahak daripada memainkan sentimen ‘derogatory’ seperti itu,” katanya.

HASNI MOHAMAD

Beliau berkata demikian sebagai mengulas peringatan Mohd. Puad agar semua ADUN Johor mengimbau semula titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tahun lalu.

Mohd. Puad yang juga ADUN Rengit berkata, berdasarkan titah Sultan Johor, rakyat harus menjadi keutamaan dalam sebarang pelan tindakan yang mahu dilakukan di negeri itu.

“Justeru, ahli-ahli Yang Berhormat marilah kita berbahas secara kritikal tetapi konstruktif sebagai pembina sendi-sendi negara dan bangsa. Suka saya ingatkan agar semua ADUN menjadikan titah Sultan Ibrahim sebagai panduan supaya tidak menjadikan persidangan Dewan sebagai ‘sangkar beruk’.

“Ingin saya ingatkan Dewan ini menjadi tempat kita berbincang dan berbuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri Johor. Jangan cemarkan Dewan mulia ini dengan perangai buruk. Ini adalah Dewan mulia bukan ‘dewan sangkar beruk’,” katanya memetik titah tersebut.

Sementara itu, Mohd. Puad dalam kenyataan balas mempersoal kenyataan Hasni berkaitan perkara yang didakwa menghina dewan. 

“Dia mendengar apa yang saya kata. Saya mengingatkan kepada titah nasihat Tuanku Sultan Ibrahim ketika pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor ke-14.

“Tuanku bertitah, ‘Jangan cemarkan dewan ini dengan perangai buruk, ini adalah dewan mulia bukan dewan sangkar beruk’ dalam titah itu,” katanya.

Mohd. Puad berkata, beliau hanya menambah ingatan agar semua memikul tanggungjawab sebagai pembina utama sendi-sendi bernegara dan berbangsa serta memelihara nama baik Bangsa Johor.

“Apakah itu menghina? Kenapa Hasni mesti memetik daripada portal lain sedangkan dia ada dalam Dewan. Apakah dia tidur dalam Dewan?

“Hasni boleh semak hansard Dewan sebelum buat komen. Sebenarnya lena dalam Dewan adalah menghina Dewan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN