Harga ayam: 60 premis peruncit, pemborong dikompaun RM15,500

Harga ayam: 60 premis peruncit, pemborong dikompaun RM15,500

MUHAMAD Zikril Azan Abdullah memeriksa ayam yang dijual di Pasar Raya Lotus’s ketika operasi pemantauan SHMMP di Kuala Selangor, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sebanyak RM15,500 kompaun dikeluarkan terhadap 60 kes yang diambil tindakan berkaitan penjualan ayam mentah melebihi harga maksimum oleh pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak 5 Februari lalu.

Selain itu, KPDNHEP juga mengeluarkan 13 notis amaran selepas memeriksa 1,994 premis perniagaan termasuk runcit dan borong apabila dikesan menjual ayam melebihi RM8.90 di peringkat runcit dan RM7.60 bagi pemborong.

Pengarah Pengut kuasa  KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dan tindakan itu dilakukan di premis runcit dan premis pemprosesan ayam seluruh negeri.

“Jadi kompaun yang kita kenakan mengikut kesalahan-kesalahan tertentu adalah RM15,500 dan 60 kes yang diambil tindakan terhadap mereka atas pelbagai kesalahan. Jadi, pecahannya kalau kita tengok kes menjual melebihi harga maksimum ada 10 kes, maknanya di peringkat runcit, mereka jual melebihi RM8.90, gagal gunakan tanda harga.

“Harga siling pemborong kepada peruncit adalah RM6.05 bagi ayam hidup, ayam standard RM7.60. Sekiranya peruncit membuat aduan kepada kami berdasarkan invois yang diterima, terima harga yang ditawarkan oleh pemborong, melebihi daripada yang dikawal, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat Walkabout Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2022 dan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur di Pasar Raya Lotus’s di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kewujudan kartel dalam industri ayam yang menekan penternak dan peniaga dengan mengaut keuntungan serta mengawal bekalan makanan tersebut terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pada itu, Muhamad Zikril Azan turut menjelaskan  mengenai caj tambahan atau perbezaan harga pada jualan ayam yang terdapat di pasar awam atau pasar raya yang mempunyai kategori tertentu.

Menurutnya, terdapat aduan diterima berkenaan perbezaan harga tersebut termasuk caj pengangkutan yang dikenakan oleh pemborong dan pemotongan daripada peruncit, namun akan bertindak berdasarkan kepada penentuan harga ditetapkan.

“Kita meletakkan dua harga bagi runcit, satu adalah ayam standard bersekali dengan kepala dan isi dalam berharga RM8.90 dan satu lagi iaitu ayam super yang dibuang kepala dan dibersihkan, harganya adalah RM9.90 yang kita kawal. Jadi, kita akan buat siasatan kepada dua harga berkenaan.

“Sekiranya harga tersebut contohnya, peniaga sudah potong siap seperti yang kita tengok dekat pasar raya ini, sudah potong, harganya tidak boleh melebihi RM9.90. Kita akan tengoklah aduan mana satu yang berkenaan,” jelasnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN