MERSING: Faktor arus kuat di Pulau Tokong Sanggol, di sini menyebabkan aktiviti selaman skuba jarang dilakukan di kawasan berkenaan oleh penyelam biasa walaupun kawasan itu mempunyai pemandangan dasar laut yang cantik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Mersing (MTA), Kelana Ali Kahar berkata, putaran arus di kawasan itu agak kuat kerana ia adalah salah satu pulau yang mencabar bagi aktiviti itu.
“Kebanyakan mereka yang ke sana adalah penyelam yang profesional. Penyelam yang setakat memiliki lesen ‘open water’ jarang turun ke pulau berkenaan, sebab itu jarang kita dengar orang ke sana untuk melakukan aktiviti itu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, empat penyelam warga Eropah termasuk seorang jurulatih selaman warga Norway, Kristine Grodem, 35, hilang bersama tiga pelatihnya ketika melakukan latihan selaman skuba di kawasan itu.
Kristine bagaimanapun ditemukan dalam keadaan selamat tengah hari semalam dan kini menerima rawatan susulan di Hospital Mersing.
Namun, tiga mangsa lain termasuk dua beranak warga Britain, Adrian Peter, 46, dan anaknya, Nathan Renze, 14, yang merupakan warga Belanda serta remaja wanita warga Perancis, Alexia Alexandra, 18, masih belum diketahui nasib mereka setakat pukul 2 petang ini.
Tekong bot berusia lingkungan 20-an yang membawa mereka ke kawasan selaman itu pula ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine ketika dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.
Sementara itu, Kelana berkata, tidak kira sesiapa pun penyelam yang mahu melakukan aktiviti tersebut di mana-mana pulau sekali pun, mereka sewajarnya mendapatkan khidmat operator selaman tempatan.
Katanya, meskipun mempunyai lesen jurulatih tetapi perlu mendapatkan khidmat penyelam profesional tempatan yang lebih mengetahui dan lebih arif tentang keadaan pulau di sesebuah kawasan.
“Biasanya penyelam kalau hilang di bawah permukaan laut itu akan naik semula tetapi akan berada jauh dari bot dan mereka tahu bagaimana untuk bertahan. Mereka akan timbul dan hanyut di mana-mana.
“Jadi, kita nasihatkan kepada mereka yang mahu melakukan aktiviti selaman agar mengutamakan keselamatan termasuk mengikuti penunjuk arah tempatan. Walau lesen besar macam mana sekali pun kena ikut sebab mereka lebih tahu,” katanya.
Sementara itu, seorang penyelam bebas yang berpengalaman selama 11 tahun, Suriya Bonma, 29, berkata, mereka sebagai rakyat tempatan juga tidak pernah melakukan aktiviti selaman skuba di kawasan tersebut kerana mengetahui risiko yang mungkin berlaku.
“Memang benar tidak ramai yang menyelam di situ, malah saya dan rakan-rakan penyelam lain juga lebih gemar menyelam di Pulau Tioman yang terletak berhampiran kerana faktor keselamatan.
“Walaupun mempunyai lesen dan berpengalaman, penyelam disarankan untuk mengikuti pusat latihan selaman yang diwartakan supaya tidak berlaku insiden tidak diingini seperti ini, selain bersama-sama jurupandu selam skuba tempatan yang tahu selok-belok,” katanya yang juga pembantu jurulatih selaman skuba. – UTUSAN










