PUTRAJAYA: Malaysia semalam mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 apabila merekodkan sebanyak 5,899 kes berbanding kelmarin, 6,968 kes bagaimanapun terus diatasi 8,434 kes sembuh.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan penurunan kepada 92 kes berbanding jumlah kelmarin, 97 kes.
Katanya, jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan juga merekodkan penurunan kepada 61 kes berbanding kelmarin, 63 kes.
“Bagi kluster Covid-19, satu kluster baharu direkodkan berbanding kelmarin, empat kluster sekali gus kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara 7,000 kluster.
“Kluster aktif Covid-19 mencatatkan 101 kluster berbanding kelmarin, 106 kluster manakala jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,899 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 23 kes daripada 5,899 kes positif Covid-19 hari ini, adalah kategori tiga, empat dan lima, dan baki kes harian, 5,876 kes adalah terdiri daripada kategori satu dan dua.
“Bagi 23 kes kategori tiga, empat dan lima, tujuh kes (30.43 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 13 kes (56.52 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan tiga kes (13.04 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 13 kes (56.52 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas; 13 kes (56.52 peratus) mempunyai komorbid dan satu kes (4.35%) kes ibu mengandung,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, kes yang dilaporkan menurun dengan jumlah sebanyak lima kes berbanding semalam, 16 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 11 pagi, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 35,470 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), empat kes direkodkan yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 7,509 kes. – UTUSAN